• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

PRU14 : Pusat Hemodialisis Di Alur Limbat Bukti Kerajaan BN Cakna


Saiful Bahri berusaha keras mewujudkan Pusat Hemodialisis Rakyat untuk meringankan bebanan pesakit mendapat rawatan di pusat kesihatan berhampiran.

Pusat Hemodialisis rakyat di Alur Limbat, Parlimen Marang siap dibina sepenuhnya dan bakal beroperasi tidak lama lagi.

Projek kesihatan rakyat dibangunkan oleh kerajaan negeri menerusi usaha Pengerusi Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat, Dato' Saiful Bahri Baharuddin membuktikan Manifesto Tambahan BN Terengganu bukan retorik dan janji kosong.

Saiful yang juga calon BN DUN Alur Limbat berkata, kemudahan itu sebagai tanda keprihatinan kerajaan berikutan ramai rakyat yang memerlukan rawatan hemodialisis akibat penyakit buah pinggang.

"Sebelum ini, hemodialisis hanya disediakan pihak swasta dan hospital. Jadi, biasanya kos tinggi diperlukan setiap kali rawatan.

"Hasil kerjasama agensi-agensi kerajaan, pusat ini diwujudkan bagi membantu rakyat mendapatkan rawatan dengan kos yang minimum.

"Ini usaha yang saya mampu lakukan berikutan hanya sedikit peruntukan yang diperolehi di DUN yang kalah kepada pembangkang penggal lalu. Pun begitu diharap kemudahan ini mengurangkan bebanan yang ditanggung pesakit," katanya.

Pusat Hemodialisis terletak betul-betul di bawah Pejabat Penyelaras DUN Alur Limbat.


Pusat Hemodialisis rakyat terletak di tingkat bawah Kompleks Majlis Daerah Marang (MDM) Telaga Mengkudu.

Pusat ini akan diselia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu.

Dalam pada itu, Saiful yang akan bertanding di DUN tersebut mengharapkan sokongan pengundi kepada BN supaya lebih banyak pembangunan dan kemudahan dapat diwujudkan pada penggal akan datang.

Tambahnya, rakyat perlu membuat penilaian dan pemilihan yang bijak pada 9 Mei ini jika tidak mahu ketinggalan dari aspek pembangunan prasarana dan projek kesejahteraan rakyat berbanding DUN yang disandang oleh BN.



Tag: