• 12 Mei 2024 | 4 Zulkaedah 1445

PRU14 : Pusat Media Terengganu Dilancar

Rozailan (kiri) dan Muda menunjukkan buku Direktori Media 2018 yang diterima dari Jabatan Penerangan Negeri sempena perasmian Pusat Media PRU14 di Hotel Permai, Kuala Terengganu. Foto oleh Harish Fadzillah Abu Kassim.

Pusat Media Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Terengganu yang akan beroperasi bermula 27 April sehingga selesai proses pilihan raya 9 Mei ini, dilancarkan di Hotel Permai, Kuala Terengganu, malam tadi.

Kemudahan yang dapat menempatkan 100 pengamal media pada satu-satu masa dibuka sepanjang 24 jam sehari bagi melancarkan tugasan pengamal media sama ada cetak dan eletronik melaksanakan tugas masing-masing sepanjang membuat liputan PRU14.


Pengarah Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM), Dato' Muda Mamat berkata, pusat media berkenaan menyediakan pelbagai kemudahan seperti mesin faksimili, fotostat dan imbasan serta pelbagai bahan rujukan PRU.

"Selain kelengkapan berkenaan pusat media yang akan beroperasi setiap masa ini turut menjadi tempat diadakan sidang media khusus untuk menemuramah pihak berkaitan termasuk calon-calon yang bertanding.


"Petugas juga disediakan makan sepanjang berada di pusat media ini,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Media PRU14 Terengganu, di Hotel Permai, Kuala Terengganu, malam tadi.


Pusat media itu dilancarkan oleh Setiausaha Politik Kepada YAB Menteri Besar, Dr Mohd Rozailan Mamat sebagai mewakili Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Sebelum itu, turut diadakan solat hajat yang diimamkan oleh Imam Besar Negeri, Ustaz Aizi Saidi Abdul Aziz sebagai memohon supaya Allah SWT melancarkan operasi dan tugasan pengamal media sepanjang PRU ini.

Pusat media itu diselaraskan Kerajaan Negeri Terengganu menerusi UKOM dengan kerjasama Pejabat Penerangan Negeri Terengganu.



Tag: