• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

PRU14 : Serikandi Terengganu Tekad Tawan Bukit Payung



Calon Barisan Nasional (BN) N18 DUN Bukit Payung, To' Puan Zaitun Mat Amin bertekad untuk membuktikan pemilihannya bagi mewakili serikandi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak sia-sia seterusnya mampu menghadiahkan DUN itu kepangkuan BN.

Menurutnya, beliau tidak mempunyai masalah untuk merampasnya daripada Pas yang sudah dua penggal menguasai kawasan itu, jika mendapat sokongan majoriti pengundi yang menuntut perubahan fizikal dan modal insan di DUN itu.

"Setakat hari ini apabila saya mula berkempen di sekitar DUN Bukit Payung, nampaknya penerimaan masyarakat setempat sangat positif  kerana calon wanita lebih dekat dengan hati pengundi.

"Satu gelombang besar bakal merubah pimpinan yang datang bukan sahaja daripada dalaman tetapi juga dari pengundi luar yang ghairah untuk melihat N18 dirampas kembali daripada Pas.

"Saya juga banyak melawat ke kampung-kampung untuk bertemu pengundi dan amat mengejutkan mereka menyambut baik saya sebagai calon wanita di sini,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama Belia dan Beliawanis DUN Bukit Payung, di Hotel Permai, Kuala Terengganu, malam ini.


Malah katanya, beliau yakin mampu memberi saingan sengit kepada penyandang sebelum ini , Mohd Nor Hamzah (Pas) yang memenanginya  dengan majoriti 613 pada PRU13.

“Saya telah bergiat sebagai Ketua Wanita UMNO Bahagian Marang sejak 2004 lagi dan Bukit Payung adalah tempat ‘lepak’ saya bersama ahli parti wanita...ini menjadi kelebihan saya dan orang kampung untuk menerima saya dengan baik,” katanya lagi.

DUN Bukit Payung menyaksikan persaingan tiga penjuru antara To' Puan Zaitun Mat Amin menentang calon Pas yang juga penyandang kerusi itu, Mohd Nor Hamzah dan calon Parti Keadikan Rakyat, Mohd Dalizan Abdul Aziz.

Tag: