• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

PRU14: Setiu Boleh Menang 5-0

Mohd Jidin bermesra dengan penduduk Kampung Baru Pulau Redang. Foto Harish Fadzillah Abu Kassim 


Barisan Nasional (BN) di Setiu dijangka dapat mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan sasaran melepasi 61 peratus berdasarkan kepada sokongan rakyat yang sentiasa teguh berdiri di belakang barisan kepimpinan BN.

Ketua UMNO Bahagian Setiu, Dato’ Mohd Jidin Shafee berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan penerimaan rakyat di daerah ini dalam setiap program anjuran parti sama ada di peringkat belia, Puteri, Pemuda, Wanita dan veteran.

"Walaupun pembangkang sentiasa mencanangkan isu berkaitan masalah dalaman UMNO di Setiu, namun ia bukanlah satu isu besar kepada pihak kita mengekalkan kemenangan sama seperti pilihan raya lepas.



"Biasalah jika bunyi bising dalam rumah tangga ia ibarat asam garam untuk mengukuhkan persefahaman dan benda yang lepas biarlah menjadi iktibar kepada semua,” katanya yang juga calon  BN Ahli Parlimen Setiu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Borang 5A kepada 194 penduduk Kampung Baru, Pulau Redang, kelmarin.

Katanya, Setiu yang mempunyai empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu Parlimen dianggap sebagai sandaran dan deposit kepada BN untuk terus menawan negeri ini.

“Ini sebab, daripada keputusan pilihan raya lalu, Setiu merupakan kawasan kubu kuat BN dan pembangkang tidak boleh sewenang-wenangnya mengimpikan kemenangan di kawasan ini.

“Saya percaya, semangat kerja berpasukan dalam diri semua ahli BN dapat memastikan hasrat pucuk pimpinan negeri menjadikan Setiu sebagai kawasan deposit BN direalisasikan,” katanya.




Tag: