• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

PRU14 : Tiada Cabaran Besar BN Kekal Parlimen Kemaman



Oleh : Ezzuan Ahmad

Keputusan PKR untuk meletakkan calon yang tidak dikenali bagi kerusi P040 Parlimen Kemaman untuk melawan penyandang, Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek dilihat tidak akan memberikan cabaran besar untuk BN mengekalkan kerusi itu.

Ketua UMNO Bahagian Kemaman,  Dato' Seri Ahmad Said berkata, meskipun calon tersebut merupakan anak jati Kemaman, namun penglibatannya di dalam politik di daerah itu tidak menonjol.

"Penyandang sekarang dilihat sebagai calon pilihan kerana sudah banyak membawa perubahan di Daerah Kemaman.

"Saya lihat parti ini perlu mempunyai 'grass root ' orang yang terkenal, orang yang memberi khidmat di kawasan itu dan  memang orang pun dah kenal siapa itu Shabery Cheek," katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri program Mesra Rakyat bersama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), di Dewan Sivik, Bandar Seri Bandi, Kemaman, hari ini.

Menurut Ahmad, situasi tersebut dapat dilihat pada proses penamaan calon pada Sabtu lalu apabila hanya sekitar 300 orang penyokong PKR  memberikan sokongan berbanding parti lain.

"Dia (calon PKR) kebanyakan masa dia berada di Kuala Lumpur dan sekiranya dipilih adakah dia sentiasa bersama rakyat apabila diperlukan? Tidak, "katanya.

Ahmad turut berkeyakinan bahawa pengundi di Kemaman sudah matang dalam menilai dan memilih calon yang terbaik untuk membawa perubahan lebih pesat di daerah tersebut .

Tambahnya, kemajuan dan pembangunan  sudah dibuktikan oleh Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek sepanjang bergelar menteri.

Tag: