• 16 Apr 2024 | 7 Syawal 1445

PRU14 : Tiba Masanya Selamatkan Wakaf Mempelam Dari Cengkaman Pembangkang - Salleh

Salleh berucap di Program Diskusi keibubapaan Cemerlang 2018, Setiap Anak Permata Negara, di Dewan Utama Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Kuala Terengganu. Foto oleh Hasmizi Hamid

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, Salleh Othman merayu pengundi di kawasannya untuk  menolak parti yang gagal membawa perubahan dan pembangunan, sementelah menjaga kebajikan rakyat.

Calon Barisan Nasional (BN) DUN Wakaf Mempelam itu secara jujur mengajak pengundi di kawasan itu untuk menilai dengan sebaik mungkin dan keluar mengundi pada esok (9 Mei) bagi memilih parti yang terbukti sudahpun membela nasib serta masa depan generasi akan datang, tidak lain dan tidak bukan hanyalah BN.

"Kita tidak mahu sudah acap kali `keguguran'..sudah tujuh kali,, Sampai bila kita kena hadapi saat duka ini. Saya menyeru dan merayu semua pengundi di DUN saya, (Wakaf Mempelam) supaya kali ini kita selamat melahirkan selepas sekian lama kita menjaga kandungan kita.

"Macam DUN Bandar baru sekali keguguran (Pilihan Raya Umum Ke-13), jadi ubatnya tidak banyak. Boleh bangkit dan menang semula (DUN Bandar). Berbanding Wakaf Mempelam seperti orang yang sudah sakit lama, terkena strok hanya mata yang mampu bergerak, maka ubatnya payah dan kena jumpa pakar. Maka, saya sudah berbuat bermacam cara, tinggal anda semua pengundi untuk menyembuhkannya kerana bagi saya, setiap undi amat bernilai dan menjadi penentuan esok,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Program Diskusi keibubapaan Cemerlang 2018, Setiap Anak Permata Negara, di Dewan Utama Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, calon BN DUN Bandar, Toh Seng Cheng dan isteri calon BN Parlimen Kuala Terengganu, To' Puan Anis Hamid yang mewakili Dato Wan Nawawi Wan Ismail.



Dalam pada itu, Salleh optimis masih berpeluang menarik pengundi untuk memihak kepada BN ketika kempen hanya berbaki sehari lagi menuju ke hari pembuangan undi.

Katanya, mengikut bancian terkini, majoriti pengundi yang tidak memihak kepada BN hanya kurang 500 orang dan jentera parti akan lebih agresif bekerja untuk memastikan jumlah itu terus dikurangkan sehingga mampu menjadi sifar bagi memastikan BN memenangi kerusi DUN itu walaupun sekadar menang tipis.

Bagi To' Puan Anis pula, beliau yakin kredibiliti, kesungguhan dan pelbagai rekod kejayaan yang sudah dibuktikan oleh suami beliau sepanjang berkhidmat sebagai penjawat awam dan menerajui  persatuan sukan di peringkat negeri serta negara akan mampu diadaptasikan untuk menjadi wakil rakyat yang sebenar seperti dimahukan oleh rakyat.

"Saya akan sentiasa menyokong perjuangan beliau, walaupun selepas pencen kami berasa tiba masanya untuk memberi tumpuan bagi menambah saham akhirat. Bagaimanapun selepas beberapa kali menolak (tawaran) sebagai calon, sudah tertulis ini adalah anugerah dan amanah daripada Allah SWT yang perlu suami galas.

"Saya bersama anak-anak dan keluarga sentiasa menyokong sepenuh jiwa kerana yakin laluan ini adalah antara jalan yang diberikan Dia untuk kami terus mencari saham àkhirat..terus berkhidmat kepada rakyat jika diberi mandat oleh semua,"katanya lagi ketika berucap ringkas mewakili Wan Nawawi.



Salleh berucap di Program Diskusi keibubapaan Cemerlang 2018, Setiap Anak Permata Negara, di Dewan Utama Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Kuala Terengganu. Foto oleh Hasmizi Hamid

Tag: