• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

PRU14 : Zaitun Ikrar Balas Kepercayaan Pucuk Pimpinan



Calon Barisan Nasional (BN) DUN N18 Bukit Payung, To' Puan Zaitun Mat Amin berikrar untuk membalas kepercayaan pucuk pimpinan parti terhadap beliau dengan menakluki semula kerusi kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sekali gus membaiki segala kelemahan yang tidak diendahkan oleh pembangkang selama ini.

Menurutnya, selama dua penggal rakyat terkapar-kapar dan tidak mempunyai hala tuju untuk meringankan beban serta memudahkan urusan mereka sejak BN tewas pada PRU12 dan PRU13 yang lalu.

"Namun begitu Kerajaan BN tetap akan membantu rakyat dengan memberi pelbagai inisiatif melalui Pegawai Pembangunan DUN untuk menangani isu rakyat...jadi sangat rugi kalau tidak merampasnya daripada Pas yang tidak menjaga kebajikan rakyat.

"Oleh sebab itu, sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat pada PRU14 nanti, saya akan meletakkan satu asas untuk memastikan usaha-usaha tambahan daripada pembangunan sedia ada jajaran pendidikan melalui pertumbuhan pusat-pusat pengajian atau universiti di persekitaran Bukit Kor.

"Termasuk juga pembangunan kawasan industri yang sudah pasti memberi impak yang baik kepada pertumbuhan kawasan Industri Kecil Sederhana (IKS) dan sebagainya,"katanya.

Beliau bercakap kepada Teganukita selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Belia dan Beliawanis DUN Bukit Payung, di Hotel Permai, Kuala Terengganu, semalam.

Zaitun berkata, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) turut membawa manfaat besar kepada rakyat yang akan mengubah landskap ekonomi dan kehidupan rakyat seluruh Pantai Timur terutama penduduk sekitar Bukit Payung yang turut menerima limpahan projek berimpak tinggi tersebut.

"Kita akan lihat makin banyak peluang pekerjaan akan terhasil daripada projek ECRL dan yang menikmatinya adalah rakyat terutama belia di kawasan ini serta pelbagai nikmat yang muncul daripada pembangunan yang pantas.

"Untuk anak muda, Transformasi Negara 50 (TN50) akan memfokuskan pembangunan anak muda dalam aspek pekerjaan dan perumahan dan banyak lagi peluang-peluang keemasan jika BN diberi peluang untuk merampas kembali DUN Bukit Payung pada 9 Mei ini,"ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau akan berusaha untuk menjayakan Terminal Agro yang terbengkalai setelah Pas mengambil alih Bukit Payung pada PRU12 dahulu jika diberi mandat  pada PRU14.


Tag: