• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

PRU-15: Kemampuan PAS Tadbir Negara Baik, Punyai Rekod

HULU TERENGGANU, 13 November – Selepas lebih empat tahun menjadi kerajaan negeri dan sebahagian daripada kerajaan Persekutuan, PAS berjaya mematikan tuduhan pihak lawan selama berpuluh tahun kononnya parti berasaskan Islam itu mustahil untuk memerintah.

Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mohktar berkata, PAS telahpun membuktikan kemampuan mereka dalam mentadbir negeri dan penglibatan dalam kerajaan persekutuan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mendakwa negara akan berdepan lebih banyak masalah sekiranya rakyat memberi peluang kepada PAS untuk memerintah selepas PRU15.

“Itu pandangan dia (Mahathir) ..terpulanglah kalau nak terima atau tidak tapi pada saya PAS telah membuktikan melalui penyertaan dalam kerajaan peringkat negeri-negeri dan nasional termasuk yang membina negara di peringkat pusat.

“Jadi dalam  tempoh yang sangat singkat ini, kenapa pula PAS dilihat tidak mampu untuk bersama membentuk sebuah kerajaan gabungan  dalam kerajaan persekutuan dan ini kita akan teruskan di masa hadapan.InshaAllah selepas 19hb ini, kita akan bentuk kerajaan yang lebih kuat di peringkat nasional,” ujarnya kepada media selepas program Santai Petang Bersama Masyarakat di Kampung Tanggol, semalam. 

Dalam masa yang sama menjawab tohmahan Mahathir bahawa PAS akan memperalat agama lebih banyak (jika menang PRU15), Ahmad Samsuri berkata soal itu tidak perlu menjadi satu isu besar kerana kehidupan semuanya akan berlandaskan agama termasuk politik yang berlapikkan panduan Islam.

Mengikut rekod, kerajaan negeri Terengganu ketika mengambil alih pentadbiran selepas PRU14, kerajaan negeri telah menyelamatkan beberapa projek sakit termasuk menyelesaikan masalah anak-anak syarikat kerajaan negeri yang mengalami kerugian.

Malah PAS juga membuktikan mereka mengotakan segala janji yang dibuat dalam manifeso sewaktu PRU14.