• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

PRU15 : Kempen Di P038 Bersih, Tiada Laporan Polis Diterima

HULU TERENGGANU, 14 November - Polis Hulu Terengganu tidak menerima sebarang laporan polis berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sepanjang tempoh berkempen hingga hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, pihaknya tidak menerima laporan insiden seumpama itu daripada mana-mana parti politik yang bertanding.

"Sepanjang tempoh berkempen di P038, kita tidak menerima aduan atau laporan bersabit kesalahan PRU, perbuatan khianat atau apa-apa kes jenayah di daerah ini.

"Setakat ini 'report' masih bersih dan dalam keadaan sangat terkawal," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuang undi  di Pusat Pengundian Awal di Dewan Kelah, Kompleks PDRM, di sini.

Seramai 232 pegawai dan anggota polis menjadi kumpulan pertama penentuan mandat kerajaan menerusi PRU15, di P038 hari ini.

Mohd Adli berkata proses pengundian awal  dijalankan mengikut kaedah pengundian biasa yang  disaksikan oleh wakil-wakil calon yang bertanding.

"Proses pengundian awal ini dijalankan bermula jam 8 pagi hingga 5 petang di dua lokasi iaitu Dewan Kelah, Kompleks Perumahan PDRM Hulu Terengganu (220 anggota) dan Balai Polis, Ajil (12 anggota).

"Sehingga jam 10.30 pagi, lebih 60 peratus pegawai dan anggota telah keluar menunaikan kewajipan masing-masing sejak jam 8 pagi tadi,"ujarnya.