• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

PRU15: Orang Asli Sungai Berua Tunai Tanggungjawab

HULU TERENGGANU, 19 November - Meskipun tinggal  di pedalaman, lebih 250  masyarakat orang asli di Perkampungan Orang Asli Sungai Berua tidak menjadikan itu sebagai halangan untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) hari ini.

Tok Batin, Rosli Desuh, 47, berkata, sejak jam 8.30 pagi masyarakat org asli dari suku kaum Semaq Beri, memenuhi perkarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Tapah, untuk membuang undi.

"Kali ini ada penambahan pengundi lebih 100 orang apabila pengundi muda layak menunaikan tanggungjawab mereka.

"Saya arahkan semua yang layak mengundi keluar ke pusat pengundian lebih awal bagi mengelak berlaku keciciran sekiranya mereka tidak keluar dalam satu kelompok," katanya.

Menurutnya, tanggungjawab sebagai pengundi harus dilaksanakan bagi memilih wakil rakyat yang boleh menjaga kebajikan mereka.

Seorang penduduk masyarakat orang asli yang ditemui, Era Alias, 21, berkata, dia teruja untuk membuang undi buat kali pertama.

"Sebelum ini hanya teman keluarga datang mengundi tetapi hari saya menjadi pemilih untuk menentukan pemimpin yang layak untuk tadbir negara.

"Sejak jam 7.30 pagi kami berkumpul di Kampung Sungai Berua, sebelum bertolak ke pusat pengundian secara beramai-ramai dengan menggunakan kenderaan sendiri," katanya.