• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

PRU15 : Pengundi Diminta Terima Segala Keputusan

MARANG, 19 November - Semua pengundi dinasihatkan supaya menerima keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan berlapang dada dan tenang.

Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Tan Sri Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, rakyat perlu bersikap matang dan tidak mencetuskan sebarang provokasi atau kekecohan selepas pengumuman keputusan yang akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam ini.

“Kita manfaatkan amalan demokrasi dengan cara sopan dan beradap dan saya dapati setakat ini sepanjang berkempen tidak berlaku perkara yang tidak diingini di seluruh negara.

“Kita berharap bahawa suasana ini berterusan walau apapun keputusan pilihan raya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Rusila, di sini hari ini.

Tambah Abdul Hadi, penerimaan dan sambutan rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN-PAS) menunjukkan perkembangan positif di seluruh semenanjung, dari Perlis sampai ke Johor.

Beliau berkata ia amat menggalakkan khususnya dengan kehadiran anak-anak muda yang keluar mengundi dan ini merupakan satu petanda yang baik.

“Dengan keadaan cuaca yang baik kita harap peratusan keluar mengundi itu tinggi dan kesedaran juga tinggi,” katanya.

Abdul Hadi turut mengakui mampu kekalkan kemenangan di Marang berdasarkan peningkatan undi diterima setiap kali pilihan raya.

“Saya menyeru kepada pengundi Islam, pengundi muda untuk keluar mengundi dalam manfaatkan amalan demokrasi ini.

“Dan sebagai orang bukan Islam juga tunaikan tanggungjawab sebagai rakyat untuk memilih pemimpin masing-masing,” ujarnya.

 

 


Tag: