• 09 Okt 2024 | 06 Rabiul Akhir 1446

PRU15 : PN Mampu Gugat Kubu Kuat BN Di Telemong

HULU TERENGGANU, 11 November - Calon Parlimen Hulu Terengganu (P038), Datuk Rosol Wahid mendakwa Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong bukan lagi kubu kuat Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Katanya, UMNO dan BN DUN Telemong tidak mampu lagi mendabik dada dengan menganggap satu kawasan dalam parlimen Hulu Terengganu itu sebagai kubu tradisional mereka.

"Saya tak nampak bahawa UMNO boleh 'claim' DUN Telemong kubu kuat mereka kerana beberapa lubuk UMNO telah dapat ditembusi PAS.

"Contohnya, Felcra Bukit Kepah dan Kampung (Kg) Hulu Sat dah naik satu bendera besar PAS. Begitu juga di Kg Padang Setar selama 50 tahun PAS tidak boleh masuk ke kawasan tersebut tetapi sekarang dah boleh masuk.

"Keadaan yang juga berlaku di Kg Bukit Tadok dan Kg Lubuk Batu, dalam sejarah PAS boleh masuk ke kawasan berkenaan.Jadi UMNO tidak boleh berkata bahawa DUN Telemong masih kubu kuat mereka," ujarnya kepada pemberita selepas program ziarah pengundi di PPSK Menerong, Ajil, di sini hari ini

Menurut Rosol, tidak mustahil kawasan berkenaan akan memberi kejutan yang mampu membawa perubahan yang tidak pernah dijangka dalam PRU15 tidak lama lagi.

Tambahnya lagi, kempen berjalan lancar malah sambutan orang kampung memberangsangkan terutama golongan muda memberikan atas dasar isu nasional.

Rosol akan bertanding menggunakan logo PAS pada PRU-15 dan kali ini beliau dicabar Datuk Rozi Mamat (BN), Alias Ismail (PH) dan Mohd Khadri Abdullah (GTA).

Saingan Rosol untuk mempertahankan kerusi itu adalah Rozi yang pernah menjadi anak didiknya dan juga ADUN Telemong.

Rozi adalah bekas Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Terengganu dan pernah mengajar di beberapa sekolah menengah, sebelum menyertai politik pada 2004 (PRU-11).

Rozi yang berasal dari Kampung Chapu menjadi ADUN Telemong sejak memenangi PRU12 dan mempertahankan kerusi itu pada PRU13 dan PRU14.