HULU TERENGGANU, 19 November - Walaupun hanya tinggal beberapa jam sebelum terbang untuk menunaikan umrah, seorang pengundi tetap menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) kali ini.
A.Rani Mamat, 57, dari Kampung Felcra Bukit Kapah berkata dia bergegas melunaskan tugasnya sebagai pengundi sebelum bergerak ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan menyertai jemaah lain untuk berangkat ke Tanah Suci selepas Asar.
"Penting untuk saya memilih pemimpin yang layak bagi memimpin negara, jadi tidak ada masalah untuk datang membuang undi sebelum ke lapangan terbang.
"Saya bergerak dari rumah seawal 6.30 pagi dan menjadi orang kedua selepas calon Perikatan Nasional(PN) P038, Datuk Rosol Wahid mengundi di Sekolah Kebangsaan Bukit Diman pada 8.05 pagi tadi," ujarnya.
Dia yang ditemani anak lelakinya berkata, perancangan untuk menunaikan umrah sudah lama dibuat sebelum Perintah Kawalan Pergerakan pada 2020.
"Dah lama tertangguh dan kini hasrat saya akhirnya tertunai tapi tetap akan menunaikan tanggungjawab mengundi kerana ia sangat penting untuk masa depan kita semua," katanya.