• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

PSKT Tumpuan Utama Pelancongan Pendidikan

KUALA TERENGGANU, 16 Januari- Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) kini menjadi destinasi tumpuan utama pelancongan pendidikan di negeri ini.

Menteri Besar, Dato’ Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ianya terbukti dengan peningkatan ketara pengunjung ke PSKT daripada 100,000 lebih pengunjung pada tahun 2022 kepada 150,000 lebih pengunjung pada tahun lalu.

“Insya-Allah pada tahun 2024, PSKT komited dengan kedatangan yang lebih ramai dan menyasarkan 200,000 pengunjung dengan pelbagai program menarik yang dirancang sepanjang tempoh tersebut. 

“Lebih-lebih lagi, ia bukan sahaja menjadi tumpuan masyarakat dari negeri kita, bahkan pengunjung dari Pantai Timur terutamanya pelajar sekolah yang ingin merasai pengalaman menarik melalui pembelajaran sains yang interaktif,” ujarnya dalam satu hantaran di laman facebook rasmi beliau, hari ini.

Menurut beliau, PSKT juga telah membuka Galeri Mini Solar Farm awal Januari lalu hasil kerjasama Kerajaan Negeri dan Terengganu Inc. 

“Ia merupakan satu lagi pembangunan ilmu yang ditawarkan kepada pengunjung agar sentiasa memenuhi kehendak dan kepentingan masyarakat.

“Tahniah seluruh warga PSKT atas kejayaan membanggakan ini hasil pembaharuan yang dilaksanakan,” tulisnya.