• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

PSMZA Menang Pingat Emas Cipta Inovasi Industri Pembinaan

DUNGUN, 10 Oktober - Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) memenangi pingat emas setelah berjaya mencipta inovasi dalam komponen Sistem Bangunan Perindustrian (IBS). 

Inovasi yang berjudul ‘Mobile Precast Stump and Footing’ telah dihasilkan oleh Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KKM) PSMZA, Sustainable Building Construction G10 (SBC G’10) sekali gus dinobatkan sebagai johan dalam Kategori Bidang Sosial di Konvensyen Kumpulan Kreatif dan Kreatif Horizon Baharu Kebangsaan 2021(HBKIK’21).

Menurut Ketua kumpulan SBC G'10, Mohd Yuzha Usoff, mereka dianggotai oleh sepuluh orang penyelidik yang terdiri daripada pensyarah-pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam (JKA) di PSMZA.

"Ia merupakan inovasi yang megubah industri pembinaan yang menggunakan kaedah konvensional kepada kaedah yang lebih sistematik dan berteknologi.

"Inovasi Mobile Precast Stump dan Footing yang terhasil ini adalah salah satu komponen produk IBS bagi bangunan yang berskala kecil seperti rumah-rumah kediaman bawah dua tingkat atau bangunan komersial yang tidak menanggung beban besar," katanya.

Konvensyen yang dianjurkan oleh Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) itu telah berlangsung  di Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) Kulim, Kedah pada 7 Oktober 2021 lalu. 

Beliau seterusnya berkata, hasil inovasi ini telah pun digunapakai dan menjadi pilihan beberapa kontraktor di negeri Kelantan dalam pembinaan perumahan.

"Kita telah berkolaborasi dengan D7 Holding Sdn. Bhd. dan sehingga kini sebanyak 20 buah rumah dan sebuah resort telah dibina mengguna inovasi ini," katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, Pengarah PSMZA, Mohd Fikri Ismail mengucapkan tahniah di atas kejayaan tersebut. 

"Saya bagi pihak PSMZA berbangga dengan kejayaan pensyarah PSMZA dalam pertandingan tersebut. Tahniah SBC G’10!!!", ujarnya menerusi hantaran aplikasi 'WhatsApp'. 


Tag: