• 18 Apr 2021 | 6 Ramadhan 1442

'Pupuk Perpaduan dan Hargai Keharmonian'

KUALA NERUS, 8 April - Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat mengingatkan bahawa semua rakyat di negara ini khususnya di Terengganu perlu menerima hakikat bahawa Malaysia merupakan sebuah negara berbilang kaum yang unik.

"Keunikan inilah yang menjadikan kita istimewa dan terbilang di mata masyarakat dunia.

"Jadi, pupuklah semangat perpaduan dan ukhuwwah sesama kita, hargailah keamanan dan peliharalah perpaduan dan keharmonian demi negara yang kita semua cintai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Perpaduan Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2021 di Duyong Marina & Resort, semalam.

Majlis berkenaan dihadiri wakil-wakil persatuan pelbagai bangsa dan kaum di Terengganu dengan tujuan mewujudkan penyatuan di kalangan masyarakat dalam membangun negeri yang maju, berkat dan sejahtera.

Program makan malam tersebut disempurnakan Yang di Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato' Yahaya Ali mewakili Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menurut Hanafiah, keamanan yang diperolehi hari ini adalah hasil perpaduan dan toleransi segenap masyarakat.

 "Adalah menjadi tanggungjawab generasi baharu hari ini untuk menghargai dan menghayati konsep perpaduan.

"Tugas dan tanggungjawab utama kita pada hari ini adalah memenuhkan dada dengan ilmu pengetahuan dunia dan ukhrawi agar perpaduan yang kita telah kecapi selama ini dapat dipertahankan dan seterusnya dikekalkan.

"Tanpa ilmu pengetahuan dan usaha–usaha yang berterusan bagi mempertahankan perpaduan yang telah lama wujud ini, semuanya hanya akan tinggal kenangan dan menjadi lipatan sejarah sahaja," katanya.