• 13 Mei 2024 | 5 Zulkaedah 1445

Purata Pendapatan Nelayan Di Terengganu RM2,000 Sebulan

Nelayan tradisional atau nelayan Zon A (pesisir pantai) di negeri ini mampu mendaratkan sebanyak lebih 16,509 tan metrik ikan dengan nilai lebih RM132 juta setahun.

Dengan jumlah 5,698 orang nelayan Zon A di seluruh Terengganu, ia merekodkan hasil purata pendapatan nelayan melebihi RM2,000 sebulan.

Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Zawawi Ali berkata, rekod itu sekali gus menutup dakwaan pembangkang yang mengatakan nelayan kita berpendapatan RM500 ke bawah sebulan.


"Itu semua fitnah dan dakwaan berniat jahat dan saya menafikan dakwaan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah, bahawa nelayan di negeri ini hidup tersepit dengan pendapatan di bawah RM500 sebulan,"katanya pada sidang media di lokasi pendaratan ikan Tok Jembal, Kuala Nerus, hari ini.

Menurut Zawawi lagi, berdasarkan kajian dijalankan bersama Bank Pembangunan Islam terhadap 145 nelayan di Kuala Nerus, hanya 70 daripada kumpulan itu yang meraih pendapatan kurang RM500 sebulan kerana menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara sambilan.

Katanya, kajian itu juga menunjukkan secara purata, pendapatan nelayan di sekitar Kuala Nerus antara RM750 hingga RM2,500 sebulan.

"Pendapatan mereka itu kalau dinilai keseluruhan, tidak termasuk pelbagai bantuan kerajaan seperti Elaun Sara Hidup antara RM250 hingga RM300 sebulan kepada setiap nelayan berdaftar, insentif hasil tangkapan dengan kadar antara 10 sen hingga 20 sen sekilogram.

"Kerajaan juga menyediakan skim bantuan subsidi diesel petrol bagi menampung sebahagian kos operasi menangkap ikan,"katanya.

Zawawi berkata, untuk tahun ini juga, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM800,000 untuk membantu nelayan tempatan membeli peralatan operasi merangkumi mesin tarik bot di 10 pengkalan nelayan, bantuan tong insulasi dan peralatan elektronik GPS.


"Kerajaan menyediakan bantuan ini bertujuan menambah kesejahteraan nelayan dengan peningkatan hasil tangkapan sekaligus meningkatkan hasil pendapatan mereka.

"Selain itu, kerajaan negeri juga memperuntukkan RM550,000 untuk pembinaan tukun tiruan bertujuan membantu nelayan tradisional turun ke laut walaupun pada musim tengkujuh," katanya.

Menurutnya lagi, seramai 7,114 nelayan tempatan berdaftar di negeri ini, manakala 2,419 nelayan asing kebanyakannya dari Vietnam dan Thailand.




Tag: