Jalur Gemilang
Berita :
Pusat Jahit Mesra Komuniti Dun Kemasik Beri Nilai Baharu Bahan Terpakai
Pusat Jahit Mesra Komuniti Dun Kemasik Beri Nilai Baharu Bahan Terpakai
Mohd Shahrim Ibni Hajjal
8 jam yang lepas
38

KEMAMAN, 14 September – Coverall terpakai yang tidak lagi digunakan kini diberi nafas baharu apabila diolah menjadi pelbagai produk dan cenderahati menerusi kreativiti serta kemahiran penjahit di Pusat Jahit Mesra Komuniti DUN Kemasik.

Pengasasnya, Ir. Saiful Azmi Suhaili berkata menerusi inisiatif Coverall Re-Create, bahan terpakai berkenaan dimanfaatkan semula dan dihasilkan menjadi produk yang praktikal serta mempunyai nilai tambah, antaranya bekas pensel dan beg sandang.

Katanya, usaha itu bukan sahaja memanjangkan jangka hayat bahan yang telah digunakan, malah memperlihatkan bagaimana kemahiran jahitan, kreativiti dan inovasi komuniti dapat digabungkan bagi menghasilkan produk baharu yang mempunyai fungsi serta potensi nilai ekonomi.

"Pada masa sama, pendekatan itu membawa mesej kelestarian dengan menggalakkan amalan guna semula dan mengurangkan pembaziran menerusi konsep “Guna Semula, Cipta Baharu, Beri Nilai.

“Diharapkan pusat ini mampu memberi manfaat kepada lebih ramai penjahit, membuka peluang menjana pendapatan keluarga serta melahirkan lebih ramai usahawan jahitan yang berjaya dan berdaya saing,” katanya., 

Tambahnya, pusat berkenaan diwujudkan sebagai platform untuk memperkasa kemahiran komuniti setempat, khususnya dalam bidang jahitan, selain menyediakan ruang kepada mereka untuk mengembangkan bakat dan potensi keusahawanan.

Menurut beliau, kemudahan serta latihan yang disediakan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin supaya pusat berkenaan dapat terus berkembang dan memberi manfaat kepada lebih ramai anggota komuniti.

Dalam masa sama katanya, inisiatif Coverall Re-Create turut membuka peluang kepada penjahit komuniti untuk melihat bahan terpakai daripada perspektif berbeza. 

"Bahan yang sebelum ini mungkin dianggap tidak lagi mempunyai kegunaan boleh ditransformasikan menjadi produk baharu yang praktikal, kreatif dan bernilai.

"Pendekatan berkenaan sekali gus menunjukkan bahawa usaha kelestarian boleh digerakkan di peringkat komuniti melalui kemahiran yang dimiliki, selain berpotensi menyumbang kepada penjanaan pendapatan dan pembangunan keusahawanan setempat,"ujar beliau lagi.

Pusat Jahit Mesra Komuniti DUN Kemasik kini mempunyai sembilan penjahit komuniti dan diketuai oleh seorang mantan guru Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPK) yang berperanan menyelaras serta membimbing aktiviti jahitan di pusat berkenaan.

Pusat itu beroperasi Ahad hingga Khamis, dari jam 9.30 pagi hingga 5.30 petang, dengan tugasan penjahit disusun secara syif bagi memastikan aktiviti jahitan dapat dilaksanakan secara lebih teratur.

Kewujudan pusat berkenaan bukan sahaja menyediakan ruang untuk meningkatkan kemahiran menjahit, malah menjadi medan kepada komuniti untuk berkongsi idea, mencetuskan kreativiti dan meneroka penghasilan produk yang mempunyai nilai pasaran.






Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan