Jalur Gemilang
Berita :
Penyu Belimbing Kembali Bertelur Dua Kali Dalam Semusim Di Rantau Abang
Penyu Belimbing Kembali Bertelur Dua Kali Dalam Semusim Di Rantau Abang
Muhammad Fakhruddin Bin Nordin
2 jam yang lepas
126

KEMAMAN, 13 September – Penyu Belimbing kembali mendarat di pesisir Terengganu untuk kali kedua dalam musim yang sama, sekali gus memberi harapan baharu terhadap usaha memulihkan semula Rantau Abang sebagai destinasi tersohor Penyu Belimbing.

Pendaratan pertama direkodkan di Kampung Telaga Air Jambu Bongkok dengan penemuan 44 biji telur, sebelum telur berkenaan diambil oleh pemajak di Pasir Putih dan dihantar ke Pusat Konservasi dan Informasi Penyu (TCIC) untuk tujuan pengeraman.

Kira-kira 12 hari kemudian, penyu yang sama dipercayai kembali mendarat di kawasan Pantai Rantau Abang dan menghasilkan 81 biji telur.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim Negeri, Dato’ Razali Idris berkata, penemuan tersebut merupakan perkembangan positif dalam usaha pemuliharaan spesies Penyu Belimbing di Terengganu.

Menurutnya, trek pendaratan penyu berkenaan ditemui oleh pemajak berkenaan sebanyak 81 biji telur diserahkan kepada pekerja hatcheri untuk ditanam di Pusat Penetasan Penyu Rantau Abang (TCIC).

“Alhamdulillah, Penyu Belimbing kembali mendarat di pesisir Terengganu dan ini merupakan kali kedua dalam musim yang sama.

“Orang lama berpesan, kebiasaannya Penyu Belimbing akan datang sehingga tiga kali dalam satu musim. Insya-Allah, kita masih mengharapkan satu lagi pendaratan dan sama-sama kita doakan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Razali berkata, jarak antara lokasi pendaratan pertama di Kampung Telaga Air Jambu Bongkok dengan sarang kedua di Pantai Rantau Abang adalah sekitar tujuh hingga lapan kilometer.

Katanya, semua 81 biji telur yang ditemukan kini sedang dieram di hatcheri TCIC bagi memastikan proses penetasan dapat dilakukan dalam keadaan terkawal.

Dalam pada itu, Razali menegaskan aspek kelestarian pantai perlu diberikan perhatian serius sekiranya Terengganu mahu mengembalikan kegemilangan Rantau Abang sebagai destinasi utama Penyu Belimbing di Malaysia dan dunia.

“Kalau kita mahu Rantau Abang kembali bangkit sebagai destinasi tersohor Penyu Belimbing dunia, kelestarian pantai mesti dijaga bersama.

“Jangan rosakkan pantai, jangan ganggu kawasan pendaratan dan jangan cemarkan laut kerana penyu, pantai dan laut adalah aset semula jadi yang perlu kita pelihara bersama,” katanya.

Usaha berterusan dalam pemuliharaan penyu dan kelestarian ekosistem marin turut selari dengan aspirasi menjadikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi yang mampan menerusi kempen Visit Truly Terengganu 2027. 



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan