Jalur Gemilang
Berita :
Untung Sebelum Cukai TDM Melonjak Hampir 59 Kali Ganda
Untung Sebelum Cukai TDM Melonjak Hampir 59 Kali Ganda
Husaif Mamat
1 jam yang lepas
42

KUALA TERENGGANU, 28 Oktober – Keuntungan sebelum cukai TDM Berhad melonjak hampir 59 kali ganda kepada RM35.4 juta bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, berbanding hanya RM601,000 dalam tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan ketara itu didorong oleh prestasi lebih kukuh dalam dua sektor perniagaan utamanya, iaitu perladangan kelapa sawit dan perkhidmatan kesihatan.

Menurut kenyataan anak syarikat kerajaan negeri itu, jumlah pendapatan TDM turut meningkat 19 peratus kepada RM638.1 juta berbanding RM536.8 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Najman Kamaruddin berkata, pencapaian itu mencerminkan perkembangan positif kedua-dua sektor perniagaan berkenaan.

Katanya, sektor perladangan mendapat manfaat daripada peningkatan pengeluaran kelapa sawit serta harga jualan lebih baik, manakala sektor kesihatan terus berkembang hasil pertambahan jumlah pesakit.

“Kumpulan mencatatkan prestasi kewangan yang lebih kukuh pada 3Q FY2026, disokong oleh peningkatan sumbangan daripada bahagian Perladangan dan Penjagaan Kesihatan,” katanya.

Bagi tempoh Julai hingga September 2026 sahaja, TDM merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM29 juta, meningkat 21 peratus berbanding RM24 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Jumlah pendapatan bagi tempoh tiga bulan itu turut meningkat 11 peratus kepada RM258.2 juta berbanding RM232.6 juta sebelumnya.

Sektor perladangan catat peningkatan keuntungan

Dalam sektor perladangan, TDM mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM34.4 juta bagi sembilan bulan pertama tahun ini, meningkat lebih tiga kali ganda berbanding RM10.8 juta tahun lalu.

Jumlah pendapatan sektor itu turut meningkat 21 peratus kepada RM330.6 juta berbanding RM273.5 juta sebelumnya.

Mengulas prospek syarikat, Najman berkata, TDM akan terus memberikan tumpuan kepada usaha meningkatkan kecekapan operasi dan mengawal perbelanjaan bagi memastikan prestasi kewangan kekal kukuh.

Katanya, kumpulan berkenaan turut mengambil kira cabaran peningkatan kos operasi dan perubahan keadaan pasaran yang boleh mempengaruhi prestasi perniagaan.

Dalam sektor kesihatan, KMI Healthcare akan meneruskan usaha menambah kapasiti hospital serta membuka hospital baharu di lokasi strategik bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang.

Dalam perkembangan lain, TDM memaklumkan proses penjualan dua syarikat perladangannya di Indonesia, PT Rafi Kamajaya Abadi dan PT Sawit Rezki Abadi, masih diteruskan dengan tarikh akhir urus niaga dilanjutkan sehingga 31 Disember 2026.

Lanjutan itu bagi membolehkan pelan pemulihan kawasan tanah yang terjejas akibat kebakaran dimuktamadkan selaras dengan perjanjian bersama Kementerian Lingkungan Hidup Indonesia.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan