Jalur Gemilang
Berita :
KPKKT Menang Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2025
KPKKT Menang Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2025
Noraini Jusoh
54 minit yang lepas
33

KUALA TERENGGANU, 29 Oktober – Kumpulan Pengurusan Kayu Kayan Trengganu Sdn. Bhd. (KPKKT) melakar satu lagi pencapaian membanggakan apabila dinobat pemenang Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2025 bagi Kategori Perhutanan. 

KPKKT dalam satu kenyataan berkata, pengiktirafan di peringkat kebangsaan itu membuktikan komitmen berterusan pihaknya dalam memperkukuh budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP), khususnya dalam sektor perhutanan yang mempunyai cabaran dan risiko operasi yang tinggi.  

"Sebagai sebuah syarikat berkaitan Kerajaan Negeri Terengganu melalui Golden Pharos Berhad, KPKKT bukan sahaja memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri melalui pengurusan sumber hutan secara mampan, malah turut memikul tanggungjawab memastikan kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan pekerja sentiasa menjadi keutamaan. 

"Kejayaan ini memperkukuh komitmen KPKKT terhadap pematuhan piawaian antarabangsa Forest Stewardship Council (FSC®️), yang telah menjadi sebahagian daripada amalan pengurusan hutan syarikat sejak tahun 2008," ujarnya. 

Menurut kenyataan tersebut, Pensijilan FSC bukan sahaja menekankan pemeliharaan alam sekitar dan kelestarian sumber hutan, malah turut merangkumi aspek tanggungjawab sosial, hak pekerja serta keselamatan dan kesihatan pekerjaan. 

"Secara khusus, Prinsip 2 FSC mengenai Hak Pekerja dan Syarat Pekerjaan, termasuk Kriteria 2.3, menuntut pelaksanaan amalan keselamatan dan kesihatan bagi melindungi pekerja daripada risiko pekerjaan.

"Sehubungan itu, kejayaan meraih anugerah ini merupakan satu pengiktirafan yang selari dengan usaha KPKKT mengintegrasikan aspek keselamatan pekerja, tanggungjawab sosial dan pemeliharaan alam sekitar dalam pelaksanaan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (Sustainable Forest Management), "katanya.

Ujar kenyataan itu, bagi KPKKT, kecemerlangan dalam pengurusan hutan bukan sekadar dinilai melalui keupayaan menjana hasil ekonomi dan memelihara khazanah alam, tetapi juga melalui tanggungjawab memastikan setiap individu yang terlibat dalam operasi perhutanan dapat menjalankan tugas dalam persekitaran kerja yang selamat dan sihat.

"Dalam menjaga khazanah hutan negeri, KPKKT turut memastikan insan yang memikul amanah tersebut sentiasa dilindungi. Kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui hasil operasi, tetapi juga melalui keupayaan memastikan setiap pekerja pulang dengan selamat kepada keluarga masing-masing, " jelasnya. 

Terdahulu, anugerah berprestij tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan kepada Timbalan Pengurus Besar KPKKT, Ahmad Bazli Razali yang mewakili syarikat dalam majlis penganugerahan di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan