• 07 Mei 2024 | 28 Syawal 1445

Pusat Sehenti Usahawan Beroperasi Februari Ini


KUALA TERENGGANU, 14 Januari - Pusat Sehenti Usahawan di bawah kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT) yang akan ditempatkan di Pusat Khidmat Masyarakat di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bakal beroperasi Februari ini.

Pelbagai maklumat berkaitan keusahawanan akan disalurkan melalui pusat itu, termasuk menyediakan kaunter khidmat nasihat, agihan borang pinjaman dan pusat aduan.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Abd Rahman berkata, pihaknya akan menempatkan beberapa orang petugas bertujuan memudahkan orang ramai dan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) berurusan.

Katanya, sumber maklumat bukan hanya terhad berkaitan keusahawanan YPUT malah pelbagai aspek yang melibatkan agensi-agensi lain.

"Antaranya, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Majlis Amanah Rakyat ( MARA) dan Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

"Orang ramai terutama yang mahu belajar berniaga perlu mengambil peluang itu supaya perniagaan masing-masing berkembang pesat,"  katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sembang Usahawan Bersama Exco di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, di sini hari ini.

Nurkhuzaini turut memberitahu, pihaknya mengakui mengenakan beberapa syarat tertentu termasuk tempoh perniagaan sekurang-kurangnya enam bulan sebelum pinjaman YPUT pelbagai kategori diluluskan.

"Langkah itu sebagai komitmen selain mengelak peminjam lari daripada membayar hutang," katanya.

Tag: