• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Pusatkan Pentadbiran Industri Petroleum Di Terengganu - Haji Amzad



 
Haji Ahmad Amzad
KUALA TERENGGANU, 15 April - Kerajaan Persekutuan perlu membangunkan segera industri maritim di Terengganu kerana rizab petroleum dan gas lebih banyak ditemui di tengah laut perairan negeri ini pada masa hadapan.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Haji Ahmad Amzad Hashim berkata, perkembangan itu akan memerlukan prasarana maritim yang lengkap dan dapat memenuhi saiz pasarannya kelak.

"Industri sebegini tidak mampu dibangunkan hanya secara inisiatif pihak swasta bersendirian. Ia perlu cetusan modal yang besar dari kerajaan melalui projek-projek perintis seperti dilakukan di Lumut, Perak dan Johor," katanya.

Beliau menyuarakan pandangan bernas itu dalam Program Bicara Darul Iman yang bertajuk 'Ekonomi Bumiputera Agenda Nasional' di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, di sini,semalam.

Turut hadir, Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara, Tun Daim Zainuddin, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, pegawai kanan kerajaan negeri dan orang awam.

Amzad berkata, beliau memfokuskan kepada keperluan membangunkan segera industri maritim itu berikutan  potensi rizab minyak dan gas yang semakin banyak di tengah laut Terengganu.

Katanya, Terengganu sudah terlalu lama menjadi pemerhati dalam industri petroleum dan tidak aktif dalam perbekalan dan perkhidmatan dalam industri itu. Oleh yang demikian, Kerajaan Pusat sepatutnya memberi peluang kepada negeri ini untuk menjadi pemangkin kepada industri berkenaan.

"Dalam respon Tun Daim, beliau bersetuju dengan saya, kenyataan ekonomi yang boleh melonjak ekonomi Terengganu adalah perbekalan dan perkhidmatan dalam industri Petroleum.

"Malah beliau secara berseloroh menyebut, cara paling mudah adalah Perdana Menteri lantik dari Terengganu," katanya.

Haji Ahmad Amzad bersetuju cadangan tersebut kerana berhasrat mencadangkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar pemusatan semua aktiviti pentadbiran industri petroleum tidak lagi di Kuala Lumpur.

"Saya nak cadangkan kepada Perdana Menteri supaya pemusatan semua aktiviti pentadbiran industri Petroleum jangan lagi di Kuala Lumpur.

"Pusatkan di negeri pengeluar , Terengganu. Urusan tender, mesyuarat utama, 'exhibition oil and gas' yang utama dan besar-besar, khidmat nasihat dan perbekalan, semua berkampung di Terenggganu. Ini kerana ia boleh mengalih bebanan yang besar kesesakan di Lembah Klang," jelasnya.

Katanya, syarikat petroleum yang berkaitan sepatutnya  didaftar di Terengganu dan membayar cukai koperat melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Terengganu.

"Selama ini mesyuarat, pentadbiran di Kuala Lumpur tetapi kutip hasil dari bahan petroleum mentah hingga kerja-kerja 'upstream' yang bernilai puluhan billion setahun di perairan Terengganu begitu juga 'downstream', tetapi 'corporate account, semua di Kuala Lumpur.

"Kemudian masing-masing bersungut “oh, Terengganu sumbang cukai sikit jer kepada Persekutuan!" ujar beliau lagi.


Tag: