lightning-solid
Berita :
Putri Ceria Terima Kunjungan YB Tok Li
Putri Ceria Terima Kunjungan YB Tok Li
Muhammad Fakhruddin Bin Nordin
23 Aug 26
5

NILAI, 23 Ogos – Tiada siapa menyangka demam panas yang dialami ketika kecil akhirnya menjadi titik perubahan besar dalam kehidupan Putri Nur Inara Balqis, enam tahun.

Sejak dilahirkan, Putri berdepan kelewatan perkembangan global (GDD) sebelum mengalami sawan pada usia tiga tahun.

Pada Mac lalu, ketika usianya mencecah enam tahun, satu lagi serangan sawan memberi kesan lebih besar apabila Putri kehilangan keupayaan menggerakkan sebahagian anggota badannya selepas serangan yang menjejaskan bahagian kanan otak.

Bapa kepada Putri, Mohd Razali Zamri, 42, berkata keadaan itu menyebabkan anaknya kini tidak lagi mampu berjalan dan mengalami masalah pergerakan pada sebelah kiri badan, selain memerlukan rawatan rehabilitasi serta sokongan berterusan bagi membantu proses pemulihannya.

“Terima kasih kepada YB Tok Li atas keprihatinan dan kesudian menziarahi anak saya.

“Program ziarah ini amat bermakna kepada saya sekeluarga kerana dapat menyelesaikan beberapa masalah berkaitan bantuan kesihatan anak saya,” katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp semalam.

Menurutnya, perjalanan yang dilalui bersama Putri bukan sesuatu yang mudah, namun sebagai seorang bapa, beliau terus mengharapkan anaknya diberikan kekuatan serta peluang untuk mendapatkan rawatan terbaik demi membantu memulihkan semula keupayaan fizikalnya.

Terdahulu, Program Ziarah kali ini melibatkan lima buah rumah di sekitar DUN Kijal, termasuk di Kampung Bukit Kemuning, Kampung Titian Berayun, Kampung Tengah dan Kampung Che Wan.

Program berkenaan turut melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris, Unit Hal Ehwal Masyarakat (HEM) DUN Kijal, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kemaman, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Tok Penghulu.


Tag :

Artikel Berkaitan