• 03 Jun 2024 | 26 Zulkaedah 1445

Qubaz Suites Bakal Lonjak Sektor Pelancongan Terengganu

KUALA TERENGGANU, 21 Mei - Usaha kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) membangunkan projek Qubaz Suites@Kuala Terengganu menjanjikan potensi besar dalam merancakkan lagi pembangunan bandar sekali gus melonjakkan sektor pelancongan dan sosiol ekonomi penduduk negeri ini.

Projek usaha sama antara MBKT dan pemaju hartanah, Exsim Development Sdn Bhd itu melibatkan pembangungan pangsapuri di atas tanah berkeluasan 5,868 meter persegi di pusat bandar raya ini dengan tempoh pembinaan selama 48 bulan.

Pada awalnya tapak tersebut menempatkan premis perniagaan milik MBKT yang disewakan, namun melihat kepada keadaan fizikal bangunan yang semakin uzur, kerajaan memikirkan perlunya pembaharuan dibuat bagi memajukan lagi kawasan itu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelaburan projek tersebut melibatkan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM278.1 juta manakala Kos Pembangunan Kasar (GDC) berjumlah RM178 juta.

“Projek Qubaz Suites@Kuala Terengganu menawarkan tiga jenis pilihan rumah iaitu jenis studio dengan keluasan 388 kaki persegi (184 unit), jenis dua bilik dengan keluasan 506 kaki persegi (552 unit) dan jenis tiga bilik dengan keluasan 753 kaki persegi (23 unit).

“Jumlah keseluruhan adalah 759 unit dan harga jualan yang ditawarkan bermula dari RM379,500 sehingga RM720,100 seunit,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah sempena Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Pangsapuri Perkhidmatan 30 Tingkat (Qubaz Suites@Kuala Terengganu) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, matlamat utama kerajaan negeri membangunkan Qubaz Suites @ Kuala Terengganu adalah untuk menggerakkan ekonomi bandar melalui sektor pelancongan.

“Pelaksanaan projek berkonsepkan 'Airbnb' yang mempunyai 759 unit penginapan ini akan menawarkan kualiti penginapan selesa kepada pelancong. 

“Saya yakin projek ini akan menjadi pilihan kepada para pelancong kerana lokasinya berada di dalam ‘tourism belt’ Bandaraya Kuala Terengganu dan berdekatan dengan Pasar Payang, Kampung Cina, Pulau Warisan, drawbridge dan produk-produk pelancongan lain,” ujarnya.

Selain itu jelas beliau, objektifnya juga adalah untuk meningkatkan jumlah pegangan hartanah bumiputera di dalam bandar.

“Kerajaan Negeri telah meletakkan syarat kuota bumiputera di dalam projek ini adalah tidak kurang daripada 70 peratus daripada jumlah unit yang dibina. 

“Pelaksanaan projek yang berkonsepkan "Airbnb' ini akan menjana ‘passive income’ kepada pembeli dan seterusnya meningkatkan pendapatan bumiputera,” jelasnya.

Sementara itu, ia turut bertujuan untuk meningkatkan pendapatan MBKT.

“Melalui pembangunan secara usahasama ini, MBKT akan mendapat pulangan sebanyak RM22.5 juta dalam bentuk tunai dan pemilikan hartanah di Qubaz Suites.

“Setelah projek ini siap dan beroperasi, MBKT dijangka akan menambahkan pendapatan sebanyak RM1 juta setahun melalui cukai pintu, bayaran lesen dan bayaran-bayaran per unit. 

“Melalui peningkatan pendapatan ini, sudah tentu MBKT akan dapat memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat,” ujarnya.