Raja Muda Berkenan Lawat Kilang PERTIMA

KUALA TERENGGANU, 2 Julai– Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail telah berkenan mencemar duli mengadakan lawatan ke Kilang Pertima Terengganu yang terletak di Kawasan Perindustrian Chendering, Kuala Terengganu.

Ketibaan baginda disambut oleh  Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Dato’ Wan Adnan Wan Derahman, Timbalan Pengarah (Makro), Wan Muhd Masyhum, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Fazrul Isham, Ketua Pegawai Korporat dan wakil Pengurusan PMINT.

Dalam lawatan tersebut baginda mendengar sembah taklimat secara terus tentang pengoperasian kilang daripada Pengurus Besar PERTIMA, Tuan Syed Mohd Asdi Tuan Ngah.

Selepas selesai sesi taklimat, baginda turut berkenan berangkat bercemar duli melawat ke bahagian pengeluaran bagi meninjau secara dekat proses penuh pengeluaran produk syarikat.

PERTIMA merupakan syarikat milik penuh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) iaitu agensi pembangunan kerajaan Negeri Terengganu menjadi pengeluar produk makanan dalam tin berkualiti tinggi yang telah menembusi pasaran antarabangsa serta memainkan peranan penting dalam merancakkan industri pengeksportan makanan negara yang berinovatif dan berdaya saing.

Sehingga kini PERTIMA telah berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai satu-satunya kilang pengeluar sardin di Malaysia yang 100% milik dan pekerjanya melayu bumiputra semenjak penubuhannya pada tahun 1972.

Selain sardin, Syed Mohd Asdi berkata, syarikatnya turut mengeluarkan lapan jenis produk makanan dalam tin seperti kari ayam, kuah laksa, kuah sate, sambal bilis, kaya dan sapuan sardin yang turut mendapat permintaan tinggi.


 


Tag: