Raja Muda, MB Solat Aidiladha Bersama Rakyat

KUALA TERENGGANU, 7 Jun – Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail berkenan mencemar duli menunaikan solat sunat Aidiladha bersama-sama rakyat jelata di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, pagi ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia serta beberapa pegawai kanan kerajaan.

Solat sunat Aidiladha tersebut diimamkan oleh Mufti Terengganu, Dato’ Dr Mohamad Sabri Haron dan  turut menyampaikan khutbah khas bertemakan Aidiladha menyemarakkan semangat pengorbanan.

Selesai solat, baginda berkenan menziarahi Makam Diraja yang terletak bersebelahan masjid, sebagai mengenang jasa dan sejarah keluarga diraja negeri ini.

Turut kelihatan jemaah memenuhi ruang masjid sejak awal pagi untuk menyambut Aidiladha dalam suasana aman dan tertib.