• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Rakan Kongsi Bisnes, Dilanggar Dan Ditikam Hingga Mati

KUALA TERENGGANU, 1 November – Seorang wanita ditemui maut dengan beberapa kesan tikaman di bahagian badan berdekatan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Terengganu di Jalan Batu 23, dalam satu kejadian jam 3 pagi, hari ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli  Mazlan berkata siasatan awal mendapati berlaku pergaduhan antara mangsa yang berusia 65 tahun dengan suspek yang juga merupakan rakan kongsi perniagaannya tentang agihan keuntungan hasil jualan tudung dan pakaian.

“Mangsa kemudiannya bertindak keluar dari kereta Honda Jazz dinaiki mereka sebelum suspek melanggarnya sehingga tercampak ke dalam longkang kemudian menikam tubuh mangsa sebanyak 15 kali sehingga mati.

"Suspek kemudiannya  meninggalkan lokasi dengan menumpang sebuah van yang kebetulan melalui lokasi kejadian tersebut tidak lama kemudian.

"Wanita yang berusia 35 tahun tersebut telah berjaya ditahan di rumahnya di Wakaf Tapai, Marang kira-kira jam 11 pagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serahan Barang Kes Narkotik Bagi Program Pelupusan Tahun 2023 Peringkat Kontinjen Terengganu bertempat di hadapan perkarangan IPK Terengganu.

Menurutnya lagi, pihak polis turut merampas sebilah pisau pemotong daging yang dibuang suspek berhampiran rumahnya yang digunakan sebagai senjata.

Tambah beliau, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk proses pengecaman dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk proses bedah siasat.

Mazli berkata, permohonan perintah tahanan reman akan dibuat dihadapan majistret pada khamis (esok).

"Suspek kini ditahan polis dan satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi siasatan lanjut,”ujarnya.