• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Rakyat Diminta Terus Bersedia Sebarang Kemungkinan Banjir

BESUT, 26 November – Rakyat dinasihatkan agar sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan sekiranya berlaku banjir di kawasan masing-masing. 

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata terutamanya kepada mereka yang berada di kawasan yang berisiko banjir.

Katanya, ia berikutan ramalan cuaca mengatakan bahawa hujan lebat berterusan tahap bahaya dijangka berlaku di Terengganu sehingga Isnin.

“Rakyat juga diminta untuk mendengar dan patuh arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

“Sekiranya diminta untuk berpindah maka hendaklah disegerakan supaya mengelakkan berlaku perkara yang lebih musibah,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Bulan Keluarga Kebangsaan 2023 Peringkat Terengganu bertempat di Kota Putra Square, Besut di sini semalam.

Turut hadir, Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh dan Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Muhamad Noh Abdullah.

Tambah Maliaman, beliau mendoakan agar perkara yang tidak diingini tidak berlaku dan keadaan cuaca di Terengganu bertambah baik.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan hujan lebat berterusan tahap bahaya dijangka melanda Terengganu sehingga Isnin ini (27 November).

Kenyataan itu memaklumkan, Terengganu melibatkan kawasan Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang.

MetMalaysia turut meramalkan hujan berterusan tahap buruk bagi tempoh sama di Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: