• 02 Feb 2023 | 11 Rejab 1444

Boikot Restoran : 'Kerajaan Tak Wajar Salahkan Rakyat'

KUALA TERENGGANU, 24 januari - Rakyat di negeri ini mahu kerajaan Persekutuan bekerja dan tidak hanya bercakap kosong bagi mengurangkan bebanan mereka berkaitan harga barangan.

Gesaan itu timbul selepas mereka tersinggung dengan kenyataan kurang cermat Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang menggesa orang ramai memboikot restoran mahal di saat harga bahan mentah sudah turun.

Pengurus Kedai Makan Nasi Kukus Amaz, Jamilah Said berkata, dakwaan Rafizi itu tidak benar kerana bahan mentah termasuk ayam dan telur masih tidak menunjukkan penurunan harga.

Katanya, sewajarnya kerajaan berfikir dan mencari penyelesaian tuntas berkenaan masalah tersebut, bukan menyalahkan rakyat di bawah.

"Sekarang ini harga makanan tidak dinaikkan lagi, tetapi jika kos bahan mentah terus meningkat macam mana pengusaha kedai makan seperti kami hendak berniaga.

"Tidak berupaya untuk menurunkan harga makanan dalam keadaan sekarang, dalam masa yang sama kena menggajikan enam pekerja lagi," ujarnya.

Dia berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika tinjauan di beberapa kedai makan, di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, hari ini.

Sementara iti, menurut Pengusaha Kedai Makan Nasi Padang di Kuala Nerus, Mohd Yusof Ghazali, jika harga bekalan dan bahan mentah terus naik kenaikkan harga makanan tidak dapat dielakkan.

Katanya, gesaan memboikot kedai makan yang tidak menurunkan harga sangat tidak relevan.

"Sepatutnya bukan kita yang kena berfikir bagaimana hendak menurunkan harga makanan, tapi itu tanggungjawab kerajaan perlu fikirkan bagaimana mencari jalan bagi memastikan bekalan bahan mentah supaya harga dapat distabilkan serta tidak berlaku kenaikkan.

"Bila selalu naik macama mana kami hendak berniaga, dengan menyediakan harga yang berpatutan kepada pelanggan, 'sakitlah'," ujarnya.

Sementara itu, peniaga kedai runcit serta barang basah dan sayuran, Nur Dalilah Diyana Azmi, mengakui tidak faham dengan sikap pembekal dalam menentukan harga barang.

"Kalau hendak diikutkan, 'orang tengah' ini yang meletakkan harga tinggi, yang saya sendiri tidak faham, adakah disebabkan cukai atau faktor lain yang mengakibatkan harga barang itu menjadi tinggi.

"Betul harga barang ini naik secara tidak menentu, kita ambil contoh limau nipis misalnya mana ada dah yang dijual secara tompok sebagaimana dahulu, sekarang semua kena timbang jika sebelum ini dijual secara runcit dengan harga RM3.00 atau RM4.00 sekarang mencecah kepada RM9.00 ke RM12.00, begitu juga dengan harga-harga sayuran lain, ikan, ayam, telur.

"Dahulu saya menjadi pembekal juga kepada peniaga-peniaga kecil di tepi jalan, sekarang ini saya tidak mampu jual dengan harga borong dengan keadaan sekarang, tambahan pula peniaga runcit sering dipantau tidak boleh meletakkan harga sewenang-wenangnya sedangkan kami dibekalkan dengan harga yang begitu tinggi, beli barang pun dalam kuantiti sedikit mengharapkan pembekal," luahnya.

Dalam pada itu pelanggan kedai makan, Mohd Faris Nurul Huda berpandangan, geasan memboikot kedai makan sangat tidak relevan dalam keadaan ramai peniaga mendapatkan bahan mentah pada harga mahal.

"Sebaliknya, saya rasa kerajaan perlu ambil inisiatif mengawal harga bahan mentah serta menurunkan harga, dengan cara memboikot tidak mampu meningkatkan ekonomi rakyat, apatah lagi kedai makan tetap menjadi pilihan rakyat,"ujarnya.