• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Rakyat Suarakan Kebangkitan Di PRK Cameron Highland

Dr. Samsuri bersama Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim (kiri) ketika ditemui pemberita dalam Majlis Memperkenalkan Jersi dan Pemain TFC 2019. 
KUALA NERUS, 27 Januari - Kemenangan pembangkang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highland menunjukkan kebangkitan suara rakyat dalam menolak kepimpinan Pakatan Harapan (PH) yang menerajui pemerintahan negara kini.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat merangkap Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, secara umumnya kemenangan itu memberi tanda amaran kepada PH tentang pemerintahan mereka selama lapan bulan menjadi Kerajaan Persekutuan.

“Itu yang kita nampak dalam PRK kali ini. Ini juga adalah masa PH untuk membuat penilaian kembali di pihak mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Memperkenalkan Jersi dan Pemain Kelab Bola Sepak Terengganu (TFC) di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, semalam.

Beliau turut berpendapat, kemenangan itu juga merupakan isyarat positif penerimaan rakyat kepada pembangkang.

“Ketika turun berkempen di sana baru-baru ini saya dapat merasai penerimaan positif masyarakat Cameron Highland kepada kerjasama Barisan Nasional (BN) dan PAS yang sama-sama berkempen kali ini,” katanya.

PRK Cameron Highland semalam menyaksikan calon BN, Ramli Mohd Noor mengekalkan kerusi Parlimen kawasan tersebut apabila meraih 12,038 undi menewaskan caloh PH, M Manogaran (8,800 undi) serta dua calon bebas, Sallehudin Ab Talib (314 undi) dan Wong Seng Yee (276 undi).

PRK itu diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada November mengisytiharkan kemenangan Datuk C Sivaraajh pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu terbatal kerana didapati berlaku amalan rasuah dan mempengaruhi pengundi kawasan itu.



  



Tag: