• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Rakyat Terengganu Bantu Bina Rumah Mangsa Banjir di Thailand

NARATHIWAT, 5 Januari - Sekumpulan rakyat Terengganu sedang berkampung di Pekan Tanjung Mas di sini bagi menggerakkan misi bantuan dan membina rumah mangsa banjir Thailand.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman yang turut serta dalam rombongan itu berkata, usaha diketuai Persatuan Prihatin Anak Watan Terengganu, Surau Al-Hikmah dan GTN Care selepas selesai misi di Terengganu dan Kelantan.

Katanya, 105 anggota sukarelawan bersama 30 buah kenderaan daripada beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) lain akan menjayakan misi itu 

"NGO yang turut serta adalah Jabatan Amal dan Khidmat Malaysia Wakaf Mempelam, kami disambut baik sebaik tiba hari ini.

“Tujuan kami turun misi banjir untuk misi membina rumah, pembersihan dan agihan barang. Kami bahagikan kepada kumpulan membina rumah, membersih dan agihan keperluan.

“Paling utama agihan kami berupa bentuk pakaian dalam wanita yang sangat dinanti-nantikan oleh para wanita di sana.

"Pakaian ini telah pun dikumpul terlebih dahulu dan menyusun mengikut jenis pakaian oleh pihak Surau Hikmah yang turut serta dalam misi ini," ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas taklimat operasi dengan wakil wilayah Narathiwat hari ini.

Ariffin juga turut menzahirkan harapan agar seluruh anak muda dan wanita unuk tidak merasa serik memberikan sumbangan berupa tenaga, masa dan wang bagi membantu mereka yang berada di dalam kesusahan.

"Mangsa-mangsa banjir di sini berkata air tidak biasa naik 15 tahun dahulu, tahun ini hari pertama sudah banjir paras pinggang.

"Empangan Yala telah dibuka, paras air semakin melonjak dan ia merupakan banjir terburuk di selatan Thailand sejak 50 tahun.

“Hari ini hari mereka, mungkin esok lusa hari kita. teruskan melakukan kebajikan untuk dana pahala akhirat kelak.

“Sesiapa yang berminat melakukan aktiviti sukarelawan, boleh sahaja sertai NGO seperti Prihatin, Jabatan Amal, dan pelbagai lagi di peringkat negeri dan daerah masing-masing,” jelasnya lagi.

Untuk rekod, Persatuan Prihatin Anak Watan Terengganu dan GTN Care adalah dua NGO yang aktif dalam misi kebajikan di Malaysia.

Sebelum ini, NGO terbabit telah membina beberapa buah rumah di Pahang dan Terengganu selain misi bantuan biasa.

 


Tag: