• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Rakyat Terengganu Berpeluang Jadi Usahawan Coklat

KUALA NERUS, 10 Julai - Rakyat Terengganu berpeluang membina kerjaya sebagai usahawan pembuatan coklat melalui kursus yang ditawarkan Lembaga Koko Malaysia (LKM).

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dato' Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali memaklumkan, peluang tersebut dapat membantu masyarakat terutama yang menerima kesan kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19.

"Dikala banyak sektor membuang pekerja, sektor perusahaan, perladangan dan komoditi pula menyediakan peluang kerjaya. Sebagai contoh, kita kini memerlukan 30,000 tenaga kerja dalam bidang penuaian sawit.

"Dalam industri pembuatan coklat pula, kita bersedia membantu seramai mungkin untuk menjadi usahawan coklat sebagai peluang berkerjaya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan anjuran LKM di Duyong Marina & Resort, hari ini.

Jelasnya, pihak kementerian berusaha memperkasa industri hiliran koko dengan melahirkan lebih ramai usahawan coklat buatan tangan.

Industri koko negara telah menyumbang sebanyak RM6.6 bilion kepada pendapatan eksport negara bagi tahun 2019.

"Sememangnya sasaran kita adalah golongan B40 untuk mereka berdikari tanpa mengharapkan bantuan semata-mata.

"Potensi pendapatan tahap pertama dalam bidang ini sahaja boleh mencapai sekitar RM2,000 hingga RM5,000 sebulan," katanya.

Menurutnya, melalui peruntukan RM3 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), seramai 224 usahawan telah dibimbing LKM dengan perolehan pendapatan memuaskan.

"Bagi Terengganu, ini yang pertama melibatkan 28 peserta dan kita sedang menunggu ahli-ahli parlimen kita memberi senarai calon-calon dari kawasan mereka untuk menyertai kursus ini pada masa akan datang.

"Peruntukan kita adalah sebanyak RM3 juta untuk tahun ini dan kita harap ada lagi untuk tahun hadapan," katanya.

Sektor pembuatan coklat mencatat peningkatan 17.3 peratus daripada jumlah pendapatan eksport koko dan produk-produknya pada tahun 2019.