KUALA TERENGGANU, 5 Julai - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yakin rakyat negeri ini matang dalam memilih pemimpin berasaskan kepada rekod prestasi, khidmat kepada rakyat dan wibawa calon serta parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Katanya, orang ramai boleh menilai kepimpinan kerajaan negeri melalui Kad Laporan Prestasi serta Buku Kejayaan Terengganu sepanjang tempoh lima tahun ini.
"Sepanjang tempoh kempen kritikal ini, kita memahami pelbagai kempen dan propaganda politik diluncurkan ke tengah-tengah masyarakat, Saya yakin rakyat kita bijak untuk tidak mudah terjerumus dalam perangkap media dan persepsi yang cuba dimainkan setengah pihak.
"Adalah lebih wajar pihak yang bertanding, berkempen dengan cara yang matang, menawarkan khidmat dan membentangkan tawaran sebagai salah satu cara kita membawa politik dan demokrasi yang lebih sihat," ujarnya melalui kenyataan di facebook rasminya semalam.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) bagi enam negeri.
"Saya ingin mengajak dan menyeru kepada seluruh rakyat Terengganu terutamanya anak muda untuk turut serta dan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi nanti. Ruang yang diberikan dalam sistem demokrasi ini perlu dimanfaatkan demi masa depan yang lebih baik.
"Manakala, kepada semua perantau yang bakal pulang mengundi nanti, suka untuk saya sarankan membuat perancangan yang awal bagi memastikan perjalanan pulang berjalan lancar dan selamat sampai di destinasi masing-masing.
"Akhirnya, carilah dan jadilah pemimpin yang ibaratnya seperti kayu besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan, uratnya tempat bersila (dan) batangnya tempat bersandar," katanya.
Sementara itu katanya,pada 8 Julai 2023 PAS akan turut melengkapkan 10 tawaran PAS Terengganu bagi dimumkan di porgram Jelajah Mega PN Best dan Himpunan Teguh Pertahan yang akan diadakan di Dataran Jambatan Angkat.
"Saya dengan penuh sukacitanya menjemput semua rakyat Ternegganu untuk turut bersama dalam program ini," ujarnya lagi.