• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Rakyat Terima Manfaat Projek Perlombongan Bijih Besi

KUALA TERENGGANU, 6 Julai - Rakyat Terengganu akan menerima limpahan manfaat daripada aktiviti perlombongan bijih besi di Bukit Besi, Dungun yang diusahakan Qew Group Bhd (QCB) dengan tiga syarikat lain.

Pengerusi Eksekutif QCB, Datuk Dr Muhamad Iqbal Mohamad berkata, tiga syarikat yang akan bekerjasama dengan pihaknya itu ialah, Cahaya Kurnia Sdn Bhd, imbasan Damai Sdn Bhd dan Prospect Global Resources Sdn Bhd.

Beliau berkata, projek berskala besar  dengan Kos Pembangunan Kasar (GDC) sebanyak RM800 juta itu akan meningkatkan ekonomi setempat yang merupakan jangkaan pihaknya bagi aktiviti perlombongan di kawasan seluas 243  hektar dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Ini akan membuka peluang pekerjaan kepada tenaga kerja tempatan selain memberikan jalinan kerjasama dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) setempat.

"Projek pembangunan ini mampu menjana pendapatan lumayan yang boleh dikongsikan bersama pemegang saham utama, pemegang taruh, rakan kongsi dan rakyat dan ia akan memberikan kesan ekonomi yang menyeluruh," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam taklimat media QCB di Kuala Lumpur, sebagaimana dilaporkan Berita Harian, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya berkeyakinan ia akan memberikan kesan positif yang siginifikan kepada pendapatan kumpulan kerana perlombongan itu mempunyai prospek yang tinggi berdasarkan harga pasarannya ketika ini serta permintaan tinggi dalam pasaran global.

"Berasarkan kebiasaan dalam aktiviti perlombongan, hasil daripada nilai pelaburan adalah sebanyak tiga kali ganda," ujarnya lagi.