• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

Rakyat Tersinggung Dengan 'Cakap Kosong' Menteri

KUALA TERENGGANU, 25 Januari - Sebahagian besar rakyat terguris dan tersinggung dengan 'cakap kosong' atau kata-kata sembrono salah seorang Menteri Kerajaan Persekutuan berkaitan harga barang.

Kenyataan kurang cermat Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang menggesa orang ramai memboikot restoran mahal di saat harga bahan mentah sudah turun adalah salah dan disifatkan tidak berpijak dalam realiti semasa.

Pelanggan kedai makan, Mohd Faris Nurul Huda berpandangan, gesaan memboikot kedai makan sangat tidak relevan dalam keadaan ramai peniaga mendapatkan bahan mentah pada harga mahal.

"Sebaliknya, saya rasa kerajaan perlu ambil inisiatif mengawal harga bahan mentah serta menurunkan harga, dengan cara memboikot tidak mampu meningkatkan ekonomi rakyat, apatah lagi kedai makan tetap menjadi pilihan rakyat kerana kesibukan tanggungjawab lain," ujarnya.

Dia berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika tinjauan di beberapa kedai makan, di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus semalam.

Sementara itu, Pengurus Kedai Makan Nasi Kukus Amaz, Jamilah Said mengesahkan harga bahan mentah termasuk ayam dan telur masih tidak menunjukkan penurunan harga.

Katanya, sewajarnya kerajaan berfikir dan mencari penyelesaian tuntas berkenaan masalah tersebut, bukan menyalahkan rakyat di bawah.

"Sekarang ini harga makanan tidak dinaikkan lagi, tetapi jika kos bahan mentah terus meningkat macam mana pengusaha kedai makan seperti kami hendak berniaga.

"Tidak berupaya untuk menurunkan harga makanan dalam keadaan sekarang, dalam masa yang sama kena menggajikan enam pekerja lagi," ujarnya.

Sementara itu, menurut Pengusaha Kedai Makan Nasi Padang di Kuala Nerus, Mohd Yusof Ghazali, jika harga bekalan dan bahan mentah terus naik kenaikkan harga makanan tidak dapat dielakkan.

Katanya, gesaan memboikot kedai makan yang tidak menurunkan harga sangat tidak relevan.

"Sepatutnya bukan kita yang kena berfikir bagaimana hendak menurunkan harga makanan, tapi itu tanggungjawab kerajaan perlu fikirkan bagaimana mencari jalan bagi memastikan bekalan bahan mentah supaya harga dapat distabilkan serta tidak berlaku kenaikan.

"Bila selalu naik macama mana kami hendak berniaga, dengan menyediakan harga yang berpatutan kepada pelanggan, 'sakitlah'," ujarnya.

 

 

 


Tag: