• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Rasa Sikit Sama Sikit, Norlan United Kongsi Tanggungjawab Kebajikan

MARANG, 20 Januari - Demi melaksanakan agenda kebajikan, pihak Norlan United telah bersama-sama membantu dan berkongsi tanggungjawab dalam memberikan sumbangan kebajikan kepada beberapa orang penduduk yang memerlukan.

Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng mengucapkan terima kasih di atas kerjasama yang telah diberikan oleh pihak Norlan United, ibarat kata mereka rasa sikit sama sikit.

"Saya bersama-sama Norlan United telah meninjau tiga orang penduduk kurang berkemampuan iaitu saudara A Halim Zakaria yang pernah tinggal di bawah tangki air di Kampung Paya, keluarga Azlan yang tinggal bersama tiga keluarga seramai 21 orang di Rhu Renggeh yang mendapat tawaran rumah di Taman Perumahan Bukit Gasing serta keluarga Zakaria Mohamad yang tinggal di rumah yang tiada bilik air di Kampung Kelulut.

"Mereka merupakan beberapa individu atau keluarga yang mendapat perhatian dan keutamaan yang telah kita bantu seperti membina rumah, baik pulih rumah dan mendapatkan bantuan rumah," katanya.

Menurutnya, dia sangat mengalu-alukan kerjasama daripada pihak seperti Norlan United untuk turut menyumbang serta membantu masyarakat yang memerlukan.

"Sebelum ini juga, kita pernah berkerjasama dalam program-program kebajikan lain di sekitar kawasan DUN Rhu Rendang, " katanya.

Sementara itu, Pengurus Kawasan, Konsesi Selenggara Jalan Negeri Terengganu (Norlan United), Azmi Ahmad menjelaskan bahawa pihaknya membantu tiga penduduk ini di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Alhamdulillah, kita turun bersama Pusat Khidmat Masyarakat menziarahi mereka ini dengan tujuan bersama-sama untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka.

"Ada antara mereka yang memerlukan pemasangan bekalan elektrik, bekalan air, barangan keperluan elektrik seperti lampu, kipas dan paip serta bayaran upah untuk menyiapkan tandas rumah.

"Kita harap dengan kos bantuan yang dikeluarkan berjumlah hampir RM8,000, tidak lama lagi mereka akan dapat menikmati keselesaan di rumah masing-masing, "katanya 

Turut hadir adalah Eksekutif Pentadbiran dan Sumber Manusia Norlan United, Muhammad Faris Abdul Muluk dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung masing-masing.


Tag: