• 22 Okt 2020 | 5 Rabiul Awal 1442

KUALA TERENGGANU, 24 Julai - Seramai 18 rakyat Terengganu bersyukur dan teruja dapat meraikan Aidiladha yang bakal menjelang dengan rezeki berganda selepas menerima kunci Rumah Mampu Milik (RMM) secara rasmi daripada kerajaan negeri, semalam.

Seorang penerima, Zaini Harun, 37, dari Teluk Kalong, menyifatkan rezeki tersebut sebagai hadiah yang tidak ternilai baginya kerana impiannya untuk memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai.

"Saya terlalu gembira pada hari ini. Tak sangka impian saya dan suami akhirnya menjadi kenyataan," ujarnya ceria.

Penyerahan kunci itu sekali gus menamatkan penantiannya yang telah memohon selama 14 tahun. Zaini dan suami, Muhammad Zakri Zakaria, 37, sebelum ini pernah menumpang rumah orang tuanya dan turut menyewa beberapa buah rumah.

Che Nor Haslida Deraman (kanan).

Dalam pada itu, Pengurus Bahagian Perumahan Rumah Kos Rendah (RKR) PMINT, Che Nor Haslida Deraman menjelaskan, majlis pengundian lot dan penyerahan kunci RMM kepada 18 penerima itu membabitkan lima kawasan.

"Ia termasuk projek perumahan di kawasan RMM Perasing Jaya (3), RMM Teluk Kalong (4), RMM Batu 7 (3), RMM Paya Lawas (5) dan RMM Bukit Gasing (3)," katanya ketika ditemui pemberita di PMINT, semalam.

Ahmad Waliyuddin Johari (dua dari kiri) menyampaikan kunci rumah kepada penerima dari DUN Bukit Besi.

Hadir sama dalam majlis berkenaan, Pegawai Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ahmad Waliyuddin Johari yang mewakili Pegawai Penyelarasnya, Haji Ghazali Sulaiman.

Mengulas lanjut, katanya, majlis itu adalah inisiatif kerajaan negeri melalui PMINT untuk memudahkan penerima yang diluluskan mendapatkan kunci rumah secepatnya sebelum hari raya.

"Hari ini hanya majlis ringkas melalui PMINT sebagai pemudah cara kepada 18 penerima ini. Ia disebabkan yang terlibat hanya sebahagian kecil di beberapa kawasan. Sekurangnya mereka dapat menarik nafas lega sebelum Aidiladha.

"Mereka boleh pergi terus ke rumah hari ini. Isikan borang kerosakan jika ada dan laporkan dalam tempoh seminggu," tambahnya.