• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Razali Sedia Beri Keterangan Isu SPRM Dikawal Kerajaan

KEMAMAN, 17 November - Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Datuk Razali Idris bersedia dipanggil Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjawab isu berhubung Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikawal kerajaan semasa.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri itu berkata pihaknya boleh membuktikan kenyataan yang dikeluarkan adalah benar.

"Saya bersedia dengan hujah-hujah yang mengiakan (membenarkan) apa yang saya kata.

"Insya-Allah ibu pejabat polis daerah (IPD) Kemaman teleh telefon (menghubungi) saya dan bersedia memberikan kerjasama yang baik untuk memastikan perjalanan siasatan akan berkeadaan lancar selancarnya," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pengisytiharan Calon Parlimen Kemaman, di Dewan Terbuka Kemaman Arena Square, di sini, semalam.

Terdahulu SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan laporan berkenaan isu berkaitan Ketua Penerangan BERSATU itu telah dilaporkan kepada polis.

Mengenai satu hantaran yang dibuat pada Rabu melalui aplikasi TikTok atas nama pemilik akaun @wancin 11 yang memaparkan kenyataan Razali sewaktu pelancaran jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada 10 November lalu yang menyatakan bahawa jentera kerajaan, SPRM dan hakim dikawal oleh kerajaan semasa.

 

 


Tag: