• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Rempah Tok Ma Setaraf Jenama Antarabangsa

KUALA TERENGGANU, 23 Februari - Menyedari penerimaan dan penggunaan rempah ratus dalam masakan semakin digemari, Anak Jasa (M) Sdn Bhd, sebuah syarikat pengeluar rempah ratus Bumiputera menawarkan tujuh jenis produk rempah serbuk ’homemade’ dengan citarasa yang unik ke peringkat yang lebih jauh.

Pengurus Besarnya, Ahmad Afiq Lothman, 28 berkata, pihaknya tidak hanya mementingkan kuantiti pengeluaran tetapi kualiti produk turut menjadi keutamaan syarikat dan sedang menuju ke arah pembaikan.

Tahun lalu, Anak Jasa (M) Sdn Bhd mencatat pendapatan RM300,000 dan syarikat menyasarkan pendapatan RM800,000 tahun ini menerusi gerak kerja yang sudah disusun untuk meluaskan rangkaian jualan.

 “Purata pengeluaran setiap bulan mencecah 10 ribu tan melibatkan saiz pembungkusan 25 gram, 250 gram  diproses di kilang terletak di Chendering dengan kapasiti kakitangan 16 orang di bahagian pengeluaran.

"Rempah kami bebas campuran bahan kimia dan pewarna, sebab itu Rempah Tok Ma menjadi pilihan ramai dan sebab itulah saya nekad memperbesarkan perusahaan apabila permintaan sangat menggalakkan malah saya percaya dapat capai sasaran pendapatan untuk tahun ini," katanya.

Tambahnya lagi, dengan pelbagai pengalaman yang ditimba serta unjuk ajar daripada semua agensi kerajaan membolehkan syarikat Anak Jasa kini berdiri teguh serta dikurniakan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Sijil Skim Makanan Selamat Mesti dan terbaharu Sijil Good Manufacturing Practice (GMP) dari kementerian Kesihatan Malaysia(KKM).

Menurut Afiq, rempah Tok Ma merupakan  adunan resipi turun temurun yang menggunakan rempah asli iaitu cengkeh, ketumbar, jintan putih dan kulit kayu manis sejak 30 tahun lalu.

Antara rempah yang dikeluarkan termasuk rempah kari ikan, rempah gulai nasi dagang, rempah kerutub, rempah kari daging, rempah gulai ayam dan daging serta rempah gulai nasi minyak.

Rempah Tok Ma kini dijual di 102 premis termasuk rangkaian pasar raya Giant di seluruh negara dan Afiq menyasarkan jualan dikembangkan ke kedai runcit dan pasar raya lain pada masa depan.

Bercerita tentang sejarah penubuhan, modal pelaburan syarikat Anak Jasa (M) Sdn Bhd pada asalnya adalah merupakan tabung keluarga Allahyarham Haji Jaafar, isteri Hajjah Salehah dan anak-anak yang berbentuk yayasan untuk menjana kewangan bagi membantu ahli keluarga.