KUALA TERENGGANU, 31 Ogos – Ribuan rakyat negeri ini membanjiri Tapak Foodtruck, Dataran Muara Utara bagi meraikan Majlis Sambutan Ambang Merdeka Peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung penuh meriah dengan semangat patriotik membara.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah yang hadir mewakili kepimpinan negeri untuk menyampaikan perutusan khas sempena Hari Kebangsaan ke-68.
Laungan keramat ‘Merdeka!’ bergema sejurus Countdown Ambang Merdeka tepat jam 12.00 tengah malam, diikuti upacara menaikkan Jalur Gemilang oleh Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia (PSTLDM) yang menerima bendera berkenaan daripada anggota Rejimen 512 Askar Wataniah.

Detik bersejarah itu semakin bermakna dengan pertunjukan bunga api berwarna-warni yang memukau ribuan penonton, diiringi nyanyian lagu patriotik ‘Tanggal 31 Ogos’ dan ‘Jalur Gemilang’ sebagai kemuncak sambutan.
Terdahulu, majlis turut disemarakkan dengan Forum Bicara Merdeka yang dikendalikan oleh Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzaman Abdullah bersama Pempengaruh Sastera, Mas Zhiddin Zhiddan Abdul Aziz serta selebriti jemputan Ustaz Akhil Hay.

Selain itu, hadirin juga dihiburkan dengan persembahan istimewa daripada kumpulan nasyid popular tanah air, UNIC, yang menyampaikan rangkaian lagu penuh semangat patriotik dan kerohanian, menambahkan lagi seri malam bersejarah tersebut.
