• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

RM10 Juta Selesai Masalah Air di Ajil

KUALA TERENGGANU, 30 November - Masalah air yang kerap berlaku di Pekan Ajil akan diselesaikan oleh Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd (SATU) dengan peruntukan RM10 juta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata, masalah yang mula berlaku sejak banjir besar luar jangka pada awal tahun lalu dan berlarutan sehingga kini itu menimbulkan reaksi tidak senang di kalangan penduduk.

"Alhamdulillah pada Isnin, 31 Oktober perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif SATU (Abdul Karim Endut) diadakan bagi membincangkan perkara itu dan diberi jaminan penyelesaian dengan kos sebanyak RM10 juta untuk melakukan pengubahsuaian bagi meningkatkan keupayaan Loji Rawatan Air (LRA) di Hulu Terengganu.

"Cuma saya berharap agar dipercepatkan (kerajaan) supaya tidak menjadi satu bahan untuk penduduk menghentam, orang ramai ini biasalah bila berlaku masalah air dia tidak tembak (marah) kepada SATU tetapi dia akan tembak saya dahulu.

"Walau bagaimanapun saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada SATU yang cuba untuk memberikan komitmen yang padu bagi menyelesaikan masalah isu air ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian, pada sesi perbahasan Mesyuarat Ketiga Penggal Keliman Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas (BAJET), di Wisma Darul Iman, semalam.

Dalam pada itu beliau turut mengharapkan agar pihak kerajaan membuat satu kajian melalui agensi kerajaan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Daerah serta yang berkaitan untuk menyelesaikan masalah banjir kilat membabitkan empat buat sekolah di Mukim Hulu Berang.

"Implikasi banjir besar telah mengakibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Bentong, SK Lubuk Periuk, SK Kua dan SK Gunung mudah dinaiki air apabila berlakunya hujan.

"Sebagai contoh SK Lubuk Periuk berada di kawasan yang sangat rendah dan sebenarnya sangat tidak sesuai sekolah itu berada di situ, kerana apabila hujan sekejap sahaja air akan masuk sampai ke dalam pejabat dan kelas sehingga menyebabkan peralatan cepat rosak.

"Apabila hujan sesi pembelajaran tidak dapat diteruskan pelajar akan diminta balik, jadi saya mengharapkan kerajaan komited untuk membantu sekolah-sekolah yang terlibat banjir ini dengan mengadakan empangan, tebatan atau apa sahajalah yang difikirkan bersesuaian bagi menangani perkara ini," katanya.