• 17 Okt 2021 | 10 Rabiul Awal 1443

RM284 Ribu Diagihkan KIR Mangsa Banjir Kijal

KEMAMAN, 16 Mac - Seramai 568 Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal menerima wang sumbangan berjumlah sebanyak RM284 ribu.

Ekoran daripada banjir yang melanda negeri Terengganu pada tahun lepas, kerajaan negeri telah mengumumkan bantuan sebanyak RM500 kepada setiap KIR mangsa banjir.

Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh dalam ucapan ringkasnya di majlis agihan tersebut menyeru agar semua yang terlibat bersabar dan redha di atas ujian dan ketentuan Ilahi.

Ustaz Hazri Jusoh sedang berucap.

"Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Kita harus bersabar dan redha dengan ujian Allah, mudah-mudahan ia akan meningkatkan lagi keimanan kita kepadaNya insya-Allah.

"Menjadi keutamaan dan dengan sedaya mungkin kami berusaha untuk menaiktaraf sistem saliran yang sedia ada bagi mengelakkan bencana ini agar tidak akan berulang lagi pada masa akan datang," katanya.

Gimik penyerahan bantuan oleh Ustaz Hazri Jusoh ( dua dari kiri).

Salah satu punca banjir di kawasan Perumahan Mampu Milik Telok Kalong adalah ekoran daripada saluran airnya yang merentasi Jalan Telok Kalong - Kijal agak sempit, serta ia telah dikenal pasti oleh pihak kerajaan.

Hazri juga bersyukur dan berterima kasih kepada semua agensi kerajaan dengan kebanyakan badan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa syarikat swasta tampil menghulurkan bantuan semasa dan selepas banjir tempoh hari.

Suasana di Dewan Dato' Seri Tuan Guru, DITC.

Majlis tersebut diadakan di Dewan Dato' Seri Tuan Guru, Darul Iman Training Centre (DITC) di Telok Kalong semalam dengan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh kerajaan akibat pandemik Covid-19.


Tag: