KUALA TERENGGANU, 23 April – Sebanyak RM550,000 diperuntukkan bagi memperkasa Program Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) di Lata Ulu Kasar dan Lata Payong, Setiu, sekali gus mengangkat aset alam semula jadi daerah itu sebagai produk eko-pelancongan yang lebih tersusun dan berdaya saing.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Dato’ Razali Idris berkata, jumlah itu merangkumi peruntukan RM300,000 bagi pembangunan CBT serta RM250,000 daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) bagi kerja menaik taraf Taman Eko-Rimba.
Katanya, usaha itu bertujuan memastikan kemudahan pelancongan di kawasan berkenaan terus dipertingkat, termasuk dari aspek infrastruktur, keselamatan dan keselesaan pengunjung.
“Penambahbaikan prasarana secara menyeluruh ini bukan sahaja mengangkat imej destinasi, malah memastikan kawasan rekreasi tersebut terus kompetitif sebagai produk pelancongan utama yang berkualiti.
“Pembangunan ini secara langsung bertindak sebagai pemangkin ekonomi yang signifikan kepada penduduk setempat melalui penciptaan peluang pekerjaan dan ruang perniagaan baharu dalam sektor hospitaliti serta perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof pada Mesyuarat Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Razali berkata, sinergi antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan mampu membentuk ekosistem ekonomi yang lebih mampan, khususnya di kawasan pelancongan berasaskan komuniti.
Katanya, pendekatan itu penting supaya kelestarian alam semula jadi dan kesejahteraan sosioekonomi penduduk tempatan dapat bergerak seiring, tanpa menjejaskan identiti asal kawasan berkenaan.
Menurutnya, antara skop kerja baik pulih dan naik taraf kemudahan pelancongan di Taman Eko-Pelancongan Lata Ulu Kasar ialah kerja-kerja awalan menaik taraf kemudahan asas dengan kos RM250,000.
“Selain itu, kerja-kerja baik pulih wakaf akibat kerosakan banjir serta lain-lain kerja berkaitan di kawasan Lata Ulu Kasar, Mukim Hulu Nerus, Setiu turut diluluskan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM50,000,” katanya.
Sementara itu, bagi Taman Eko-Rimba Lata Payong, kerja baik pulih dan naik taraf berjumlah RM250,000 melibatkan pembaikan wakaf, bumbung bangunan, papan tanda, pagar, tapak platform perkhemahan, susur gajah termasuk kerja concrete stamping dan pendawaian elektrik.
Bagaimanapun, Razali memaklumkan permohonan bagi kerja-kerja baik pulih tandas serta lain-lain kerja berkaitan di Lata Payong, Setiu di bawah Peruntukan Pembangunan Untuk Negeri (PPUN) masih belum diluluskan.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan terus memberi perhatian kepada pembangunan destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi, terutama yang mampu memberi pulangan terus kepada komuniti setempat.
Tag :