• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

RMM Bukit Gasing Catat Unit Rumah Tertinggi

MARANG, 1 April - Rumah Mampu Milik (RMM) Bukit Gasing mencatat rekod tersendiri apabila menjadi projek pembinaan unit rumah tertinggi iaitu sebanyak 238 buah rumah berbanding RMM di kawasan lain.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, RMM Bukit Gasing yang berkeluasan 23 ekar merangkumi 238 unit rumah dengan kos pembinaan sebanyak RM34 juta yang ditanggung oleh kerajaan negeri.

“Di negeri Terengganu ini kita melancarkan konsep perumahan patuh syariah yang kita namakan sebagai Rumah Darul Iman yang dikenali sebagai RAHMAN. Di mana semua rumah di Terengganu diharapkan dapat mengikuti ciri-ciri dan spesifikasi RAHMAN yang telah ditetapkan kerajaan negeri,” ucapnya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek RMM Bukit Gasing II, Marang.

Untuk rekod, sebelum ini, kerajaan negeri telah melancarkan empat projek RMM iaitu RMM Tajin Hulu Terengganu sebanyak 250 unit, RMM Tok Jembal Kuala Nerus sebanyak 160 unit, RMM Tempinis Jabi Besut sebanyak 100 unit dan RMM Gong Cengal Kertih Kemaman sebanyak 200 unit.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Haron Yusof, Pengarah Tanah dan Galian Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri, Wan Adnan Wan Derahman.


Tag: