KEMAMAN, 13 Ogos - Pasukan Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong muncul juara edisi 2025 Liga DUN Kijal Piala YB Tok Li selepas menundukkan Titian Berayun 3-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung malam tadi di Stadium Mini Mak Chili.
Pertemuan itu menyaksikan penyerang sensasi RMM Teluk Kalong, Haikal Ikhwan, menjadi wira pasukan dengan ledakan hatrik pada minit ke-6, 23 dan 35.
Titian Berayun hanya mampu merapatkan jurang menerusi jaringan Husni Syahmi pada minit ke-50, namun gagal bangkit untuk menundukkan pihak lawan.
Ketua Jabatan Seni Budaya & Sukan (DACS) Kijal, Othman Harun, berkata edisi kali ini menarik penyertaan 11 pasukan dari seluruh DUN Kijal, bermula 3 Jun dan berakhir pada 12 Ogos, dengan sambutan hangat daripada para peminat bola sepak tempatan.
“Alhamdulillah, tahun ini kejuaraan menjadi milik RMM Teluk Kalong. Tahun lalu, gelaran juara diraih oleh Kampung Bukit Anak Dara.
“Kejohanan ini bukan sekadar medan persaingan, tetapi juga platform merapatkan ukhuwah antara penduduk,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan semalam.

Turut hadir, Senator Che Alias Hamid, Ketua Pemuda PAS Kawasan Kemaman, Ahmad Dasuki Mohd Tahir, barisan Ahli Jawatankuasa, serta wakil-wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris yang juga penaung kejohanan berkata, penganjuran Liga DUN Kijal Piala YB Tok Li akan diteruskan setiap tahun.
“Ini sebagai usaha menggabungkan semangat kesukanan, memupuk perpaduan dan membangunkan bakat muda sekali gus menyemarakkan aktiviti komuniti setempat.
“Saya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk penganjur, pengadil, pasukan bertanding, sukarelawan dan penyokong yang menjayakan kejohanan pada tahun ini,” ujarnya.
