• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Roket Air Bawa SMK Tengku Ibrahim Ke Jepun

SMK Tengku Ibrahim turut membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 berbentuk tajaan daripada Yakult Malaysia.

Oleh : Ariss Alias

SETIU, 28 September - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ibrahim akan mewakili Malaysia ke Kejohanan Roket Air Asia Pasifik yang akan berlangsung pada bulan November nanti di Tokyo, Jepun.

Kejayaan itu tercipta apabila SMK Tengku Ibrahim yang bertanding mewakili negeri Terengganu muncul juara keseluruhan dalam Kejohanan Roket Kebangsaan 2019 (KRK 2019) setelah menewaskan 20 pasukan lain termasuk 15 SMK setiap negeri dan lima Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Pengetua SMK Tengku Ibrahim, Che Adam Che Muda ketika dihubungi berkata, beliau berbangga dengan pencapaian pasukan yang diketuai guru pengiring, Azmi Jaafar dan Nik Mohd Zulkifli Tuan Ismail serta dua orang pelajar tingkatan empat, Aqlan Che Nazri dan Muhammad Isyraf Sukor.

“Bagi pihak pengurusan sekolah, saya ucapkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Setiu dan ibu-bapa pelajar sendiri atas kerjasama erat yang diberikan,” ujarnya.

Sementara itu, menurut Azmi, dalam pertandingan berkenaan, setiap pasukan perlu melancarkan roket sejauh 80 meter bagi melayakkan mereka memenangi kejohanan itu.


“Semasa peringkat akhir pasukan SMK Tengku Ibrahim berjaya menyasarkan lebih kurang 12 inci daripada pusat bulatan dan telah dinobatkan sebagai johan KRK 2019.

“Kami turut meraih johan kategori roket inovasi buat kali kedua selepas memenanginya pada tahun lepas.

“Roket inovasi ialah roket yang dihasilkan dengan menggunakan sekurang-kurangnya tiga botol minuman bergas terpakai dan dilancarkan tegak 90 darjah ke udara,” katanya

KRK 2019 dianjurkan oleh Planetarium Negara dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC) pada 23-26 September lalu di Universiti Teknologi MARA (UITM) Cawangan Puncak Alam, Selangor.


Tag: