• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Rokiah Jual 5,000 Nekbat Sehari

KUALA TERENGGANU, 30 Mac- Pengusaha kuih nekbat dari Kampung Padang Jerat, Jalan Pulau Musang di daerah ini mampu menjual kira-kira 5,000 biji kuih itu setiap hari ketika bulan Ramadan.

Rokiah Deraman, 58, yang terlibat dengan pembuatan nekbat sejak lebih 15 tahun lalu berkata, permintaan manisan tradisional pencuci mulut negeri Pantai Timur itu masih laris sehingga kini.

Katanya, resipi membuat kuih nekbat dipelajari daripada arwah ibu mertuanya dan kini diperturunkan kepada anak-anaknya yang turut membantu dalam proses menyiapkan tempahan nekbat pelanggan.

“Kuih nekbat yang saya jual menggunakan dua bahan asas sahaja iaitu telur serta tepung beras dan hanya perlu dibakar dalam acuan dengan tempoh kira-kira sepuluh minit.

“Kami hanya menghasilkan kuih ini pada bulan Ramadan kerana hari biasa saya berniaga pisang goreng walaupun ada permintaan tinggi ketika bukan bulan puasa,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya, semalam.

Katanya, sebanyak 1,000 biji telur digunakan untuk menghasilkan 5,000 biji kuih nekbat.

“Setiap hari seawal pukul 9 pagi, ahli keluarga kami akan berkumpul dan mula membuat adunan kuih nekbat sehingga dibakar di dalam acuan sebelum dibungkus di dalam plastik untuk dijual kepada pemborong.

“Untuk tahun ini, kuih nekbat yang mentah dijual kepada peraih pada harga RM32 bagi 100 biji memandangkan harga barangan semakin meningkat ,” ujarnya.

Menurut Rokiah, anaknya turut membantu mempromosikan kuih nekbat yang mereka usahakan di laman Facebook serta menyediakan perkhidmatan penghantaran secara tunai dan pos.

“Disebabkan rindu akan kuih tradisi yang biasanya muncul setiap kali Ramadan, ramai anak-anak Terengganu yang tinggal diluar membeli nekbat secara ‘online’ dari kami.

“Bagi menjaga kualiti, kuih nekbat ini akan dijemur dan dikeringkan terlebih daluhu sebelum diposkan kepada pelanggan,” ujar ibu kepada tujuh anak itu.