• 04 Nov 2024 | 02 Jamadil Awal 1446

Rosol Fokus Kempen Bertemu Pengundi

HULU TERENGGANU, 9 November - Berbaki sepuluh hari kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), calon Parlimen Hulu Terengganu (P038), Datuk Rosol Wahid menggandakan usaha meraih sokongan daripada golongan sasar.

Menurutnya, tempoh berkempen 14 hari yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan digunakan semaksimum mungkin untuk berjumpa dengan akar umbi.

Tambah Rosol, kempen yang dilaksanakan sudah melebihi 50 peratus di parlimen Hulu Terengganu meliputi empat Dewan Undangan Negeri(DUN) iaitu Kuala Berang, Manir, Ajil dan Telemong.

"Alhamdulillah, sambutannya cukup menggalakkan dan saya nampak akar umbi menyokong perpaduan dan kebersamaan parti-parti melayu ini yang menjadi satu kelebihan kepada kita dalam menghadapi PRU15.

"Jadi insya-Allah dengan sokongan, dokongan dan juga semangat yang ditunjukkan oleh akar umbi sama ada mereka yang berparti dan tidak berparti, atas pagar..mereka mengharapkan perpaduan dan juga kesatuan parti-parti melayu di Malaysia ini, itu mesej yang saya terima setakat ini,"ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas bertemu penerima Bantuan Pencen Rakyat, OKU dan Ibu Tunggal Dun Manir di Kompleks al-Kawthar Kubang Lembek, Manir, di sini hari ini.

Katanya, jentera parti sudah menyusun gerak atur beliau sebagai seorang calon untuk berkempen menyantuni penduduk di seluruh Hulu Terengganu dan juga para pengundi di situ.

Tambah beliau, perhatian juga diberikan terhadap pemilih baharu pada  PRU15 yang kebanyakan daripada mereka terdiri daripada pengundi tidak berparti dan kumpulan pengundi muda.

"Pengundi kali pertama ada peningkatan terutama kalangan anak muda yang mahir dengan media sosial yang tahu masalah dan isu negara.

"Mereka memahami hal tersebut dan mengakui itu perlu dihentikan serta merta dengan menolak parti yang bersahabat dan bersama dengan mereka yang tidak amanah...supaya negara lebih berjaya dan aman," katanya.