• 01 Mei 2024 | 22 Syawal 1445

Rumah Ibu Tunggal Dihempap Pokok Tumbang


Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 31 Julai – Sebuah rumah ibu tunggal mengalami kerosakan pada bumbung dan beberapa lagi bahagian  selepas dihempap pokok dalam kejadian di B 20 Felda Jerangau. dekat sini, semalam.

Mangsa Rasimah Hussain, 56, berkata ketika kejadian kira-kira 9 malam itu, dia sedang bersolat dan rebah apabila terdengar bunyi yang sangat kuat

Katanya, oleh kerana keseorangan, dia tidak mampu untuk menjenguk keluar rumah untuk melihat  punca bunyi kuat tersebut dan meneruskan mengaji bagi menghilangkan rasa ketakutan.

"Saya menggigil ketakutan, tidak berdaya namun sempat melihat jam ketika berlaku sehingga saya dihubungi  jiran sebelah rumah menyatakan pokok mangga besar telah tertimpa diatas rumah.

"Namun jiran saya telah memaklumkan perkara berkenaan kepada 'group whatsapp' Komuniti Felda Jerangau, dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) segera mengambil tindakan dengan datang bersama penduduk kampung bagi memotong dahan besar yang tertimpa rumah secara bergotong royong,"katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Akibat ditimpa pokok berkenaan, berlaku kerosakan  pada beranda rumah yang turut mematahkan tiang seri dan mematahkan tiang simen beranda, beberapa keping atap pecah dan turut terkena sedikit pada warung di hadapan rumah berkenaan.


Dalam pada itu Pegawai Penyelaras, Ghazali Sulaiman berkata beliau telah dimaklumkan tentang kejadian tersebut oleh MPKK Felda Jerangau.

"Telah dimaklumkan kepada pihak Jawatankuasa Tindakan Daerah Dungun, dan juga pada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah turun menyiasat untuk dibuat dan diambil keputusan yang sewajarnya.

“Permohonan untuk memperbaiki rumah berkenaan akan dipermudahkan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana Rasimah berada didalam senarai yang diberi bantuan oleh JKM,”ujarnya lagi ketika melakukan lawatan ke rumah mangsa.

Sehingga kini, beberapa tindakan telah diambil dengan  menampung dahulu atap yang pecah bagi memberi keselesaan kepada Rasimah sementara menunggu untuk dibaikpulih dengan lebih baik.

Tag: